Gencatan henti politiking memualkan rakyat


Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Pendirian UMNO yang mengenakan gencatan politik menunjukkan parti itu terus konsisten dalam membela rakyat walaupun dimomokkan dengan pelbagai tuduhan oleh segelintir pihak.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, gencatan itu membolehkan semua politikus kembali fokus kepada kepentingan rakyat.

Menurutnya, amalan politik kotor seperti tuduhan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, prejudis terhadap kerajaan ataupun gilakan kuasa begitu memualkan rakyat.

“Jika ia berterusan dan rakan-rakan sekutu kerajaan terus berpolitik, tidak mustahil rakyat akan menolak Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Buat masa ini, kita harap kerajaan mengambil endah tentang saranan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tentang Pelan Tindakan Khas Negara untuk memulihkan survival ekonomi rakyat.
Artikel Berkaitan:


“Moratorium bank perlu disambung semula sekurang-kurangnya hingga Disember 2020. Seterusnya, bagi negeri yang terjejas teruk kerana pandemik koronavirus (Covid19) gelombang ketiga, perlu diberikan insentif kewangan terutama golongan muda, peniaga kecil dan keluarga B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Haphiz berpendapat, formula untuk mengukuhkan keadaan politik perlu disediakan sebaik sahaja kes Covid-19 mulai reda dan tidak lagi membimbangkan.

Jelasnya, ini kerana situasi sokongan yang goyah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sentiasa diganggu gugat dan diambil kesempatan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP, secara tidak langsung turut memberi kesan kepada pembangunan negara akan datang.