Pertandingan Pahang Simply Awesome ditangguh

Mohd Sharkar (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pahang Simply Awesome yang diraikan di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
Mohd Sharkar (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pahang Simply Awesome yang diraikan di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Pertandingan video pendek Pahang Simply Awesome bagi bulan Oktober, November dan Disember 2020 ditangguhkan ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang yang juga Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, hal ini bagi mengelakkan para peserta terdedah kepada pandemik yang mencatatkan peningkatan mendadak pada masa kini.

Menurutnya, pada masa sama terdapat beberapa lokasi di negara ini telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ini mengekang pergerakan para peserta yang mungkin tinggal di negeri atau daerah lain.

"Pertandingan Pahang Simply Awesome diadakan sejak Januari lalu dan ia dilaksanakan secara bulanan. Bagi pemenang untuk bulan Januari sehingga Julai telah pun dipilih dan acara penyampaian hadiah telah diadakan.

"Seramai 21 pemenang bagi bulan Januari hingga Julai 2020 diraikan. Johan bulanan menerima tunai RM3,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000. Jumlah hadiah yang telah disampaikan ialah RM41,000 daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM72,000 " katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Sharkar berkata, pertandingan itu merupakan inisiatif pihaknya dan Pelancongan Pahang dalam usaha memperhebatkan promosi pelancongan domestik negeri ini.

Menurutnya, penglibatan komuniti dan orang ramai sebagai peserta pertandingan secara tidak langsung akan meningkatkan hebahan dan memperkenalkan negeri Pahang secara meluas sehingga ke peringkat global khasnya menerusi platform digital.

Artikel Berkaitan: