Datuk, Datin didakwa guna dokumen palsu

Mokhtar (dua dari kanan) dan isterinya, Noorizan (kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menggunakan suatu dokumen palsu untuk pembangunan pangsapuri Oktober tahun lalu.
Mokhtar (dua dari kanan) dan isterinya, Noorizan (kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menggunakan suatu dokumen palsu untuk pembangunan pangsapuri Oktober tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk pembangunan pangsapuri, pada Oktober tahun lalu.

Datuk Mokhtar Haron, 66, dan isterinya, Datin Noorizan Abd Shukor, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat bertajuk Permohonan Cadangan Pembangunan Menara Pangsapuri 40 tingkat (252 unit) bertarikh 24 Oktober 2019.

Sementara pertuduhan kedua, mereka didakwa atas kesalahan sama membabitkan surat bertajuk Cadangan Cantuman Lot (7 kepada lot) untuk Pembangunan Pangsapuri bertarikh 29 Oktober 2019.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di TPC Kuala Lumpur Golf & Country Club, Brickfield di sini, pada 30 Oktober 2019.

Bagi setiap pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan mencadangkan ikat jamin diletakkan pada kadar RM200,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam, Rodzim Zaimy Abdul Hamid yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon agar mahkamah mengurangkan kadar itu dengan alasan masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Mokhtar menghidap penyakit ‘panic disoder’ (serangan panik atau keresahan) manakala isterinya, penyakit diabetes, selain perlu menjaga anak berusia 18 tahun yang masih melanjutkan pelajaran di universiti awam dan seorang lagi anak angkat berusia tujuh tahun.

“Ekoran kes ini, akaun bank mereka termasuk anak-anak dibekukan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mengumpul jumlah besar,” katanya.

Izralizam menawarkan ikat jamin sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kedua-duanya dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Balai Polis Ayer Keroh memandangkan mereka tinggal di Melaka.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 2 Disember depan.

Pada Mei lalu, polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung aduan sebuah firma arkitek mengenai arahan pembangunan (DO) palsu.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan berhubung kelulusan perancangan pembangunan.