Kilang fucuk goreng diserbu KPDNHEP

Pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP menyerbu kilang memproses fucuk goreng di Umbai semalam.
Pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP menyerbu kilang memproses fucuk goreng di Umbai semalam.
A
A
A

JASIN - Sebuah kilang memproses sayur fucuk goreng di Umbai di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka semalam selepas disyaki menggunakan logo halal dengan cara mengelirukan.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, bertindak atas maklumat awam, pihaknya menyerbu kilang terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati kilang itu disyaki melakukan kesalahan berkaitan penakrifan halal.

Menurutnya, kilang yang mempunyai logo halal yang sah itu didakwa tidak mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan pihak kementerian.

"Kita telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,225.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, sejak Januari hingga 22 Oktober lalu sebanyak 17,400 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang.

Katanya, dalam tempoh itu KPDNHEP Melaka telah menerima sebanyak 775 aduan rasmi yang mana kebanyakan membabitkan perihal harga.

"Sehingga semalam 216 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM636,206 terdiri daripada semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNHEP manakala sebanyak RM114,050 kompaun dan RM187,500 denda telah dikeluarkan membabitkan semua kesalahan yang telah diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengingatkan kepada semua para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa bersedia dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku," katanya.