X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Hanya tiga sekolah di Negeri Sembilan ditutup

Aminuddin Harun
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tidak bercadang menutup semua sekolah di negeri ini berikutan daerah Seremban dikategorikan sebagai zon merah semalam, sebaliknya hanya tiga buah sekolah ditutup.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 yang diadakan pagi tadi di Wisma Negeri.

"Setakat ini hanya tiga buah sekolah ditutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di Tampin, SMK Dato' Undang Haji Adnan (DUHA), Rembau, dan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Seremban susulan terdapat kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan.

"Justeru, tiada cadangan untuk menutup keseluruhan sekolah di negeri ini ketika ini kerana kes positif Covid-19 itu hanya melibatkan sekolah tertentu dan ia berada dalam keadaan terkawal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik susulan adanya kes positif Covid-19 di sekolah terlibat kerana langkah sewajarnya telah diambil oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak itu.

"Bagaimanapun, orang awam terutamanya yang berada di kawasan zon merah, diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain hanya keluar rumah jika ada keperluan," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sehingga semalam terdapat 38 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 1,157 kes.

"Dari jumlah tersebut, 1,066 kes telah sembuh dan discaj, 83 kes yang masih menerima rawatan di wad, dan lapan kes telah meninggal dunia.

"Pertambahan 38 kes baharu semalam, 33 kes daripadanya merupakan saringan kontak rapat kes penularan tempatan yang merupakan kluster baharu, Kluster Sofi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!