Wanita maut jatuh dari tingkat lapan HQE negatif Covid-19

Dr Christina Rundi
Dr Christina Rundi
A
A
A

KOTA KINABALU - Wanita yang maut selepas jatuh dari tingkat lapan Hospital Queen Elizabeth (HQE) I malam kelmarin didapati tidak dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Perkara itu disahkan selepas wanita itu menjalani tiga kali Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan didapati negatif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi berkata, hasil siasatan mendapati pesakit wanita berusia 63 tahun itu dimasukkan ke wad Isolasi di tingkat lapan hospital pada 13 Oktober lalu.

"Wanita itu dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut selepas disyaki menghidap jangkitan Covid-19.

"Bagaimanapun, ujian pengesahan RT-PCR bagi Covid-19 yang telah dijalankan sebanyak tiga kali adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, susulan daripada ujian yang diterima, pihak hospital merancang untuk membenarkan wanita itu keluar daripada wad semalam.

"Keluarga pesakit wanita itu telah dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu (Asisten Komisioner Habibi Majinji) semalam.

"Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) hospital juga telah menghubungi keluarga wanita itu untuk memberi sokongan psikologi kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Christina berkata, HQE akan membuat siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan mengambil tindakan untuk penambahbaikan yang bersesuaian.

"Sehingga kini, mayat pesakit masih berada di Jabatan Forensik HQE untuk dibedah siasat dan kes ini juga di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang wanita warga emas dari Keningau yang telah sembuh daripada Covid-19 ditemui maut jatuh dari tingkat lapan hospital itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sembuh Covid-19 ditemui maut