PGA rampas barang seludup RM205,380

PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan berjumlah RM205,380 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang.
PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan berjumlah RM205,380 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan berjumlah RM205,380 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang awal pagi semalam.

Menariknya, dua serbuan di Kampung Lubok Gong dan pangkalan haram Pok Mat itu dilakukan dalam tempoh kurang satu jam.

Rampasan itu melibatkan pakaian, kasut dan selipar untuk kanak-kanak serta dewasa.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, kesemua barangan rampasan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

"Serbuan pertama di pangkalan haram Pok Mat pada jam 1 pagi, PGA berjaya merampas barangan seludup berupa pakaian dan selipar serta sebuah Mitsubishi Pajero dianggarkan berjumlah RM106,750.00," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan sekumpulan lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja penyeludupan terus bertindak melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Katanya, siasatan awal mendapati barangan seludup berkenaan dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus dari Thailand.

"Susulan rampasan pertama itu, PGA kemudian bertindak melakukan dua lagi serbuan di Kampung Lubok Gong.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan ke atas dua buah rumah tidak bernombor itu dilakukan jam 1.20 dan 1.40 pagi," katanya.

Nor Azizan berkata, serbuan kedua PGA menemui guni-guni mengandungi pakaian wanita, kasut dan beg bernilai RM50,980 pada jam 1.20 pagi.

Katanya, kesemua barangan seludup itu disembunyikan di dalam sebuah Proton Waja berhampiran sebuah rumah.

"Anggota PGA kemudian bertindak melakukan serbuan ketiga pada jam 1.40 pagi di sebuah rumah berdekatan di kampung yang sama.

"Pemeriksaan di kawasan tersebut menemui guni-guni mengandungi pakaian wanita, kasut, selipar yang disembunyikan di bawah rumah bernilai RM47,650," katanya.

Caption

1.PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai barangan seludup termasuk kenderaan berjumlah RM205,380 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang.

2.Sebuah Mitsubishi Pajero turut dirampas oleh PGA Batalion 9 Kuala Terengganu.