UMNO Selangor sokong gencatan politik

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyokong sepenuhnya gencatan politik yang diumumkan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat pada masanya.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ketika ini negara menghadapi cabaran pandemik koronavirus (Covid-19), jadi bukan masanya untuk berpolitik.

"Saya sebagai Pengerusi UMNO Selangor amat menyokong kenyataan presiden, ketika ini rakyat tengah menghadapi pelbagai halangan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19. Kita tahu ramai yang terjejas dan terkesan termasuk pekerja dan peniaga, di mana rakyat kini berada dalam keadaan yang kurang selesa.

"Malah rakyat juga mahu agar program-program politik ini mestilah kita kurangkan, ertinya UMNO dan Barisan Nasional seperti mana yang presiden kata, kena berikan sokongan penuh kepada kerajaan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini akan dapat menumpukan sepenuh masa bagaimana untuk memulihkan semula ekonomi negara," katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Selangor semalam.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pelbagai inisiatif baharu dapat diperkenalkan sekiranya suasana politik negara berada dalam keadaan stabil.

"Sekiranya suasana politik yang tenang, maka kerajaan dapat menumpukan sepenuhnya dalam usaha mengatasi Covid-19 dan pada masa sama memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang baru untuk membantu rakyat.

"Kalau kerajaan ini tidak stabil bukan sahaja pelabur luar negara malah pelabur dalam negara pun akan takut dengan situasi tidak menentu ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang itu turut menjelaskan bahawa usaha untuk memastikan ekonomi terus mampan dapat dilakukan sekiranya kerajaan sentiasa kukuh.

Artikel Berkaitan:

"Sebab tu dalam keadaan negara berdepan masalah Covid-19 ini, ekonomi kita pun turut tertekan maka kita kena kurangkan berpolitik.

"Kita kena kuatkan kerajaan kita supaya dapat meyakinkan pelabur-pelabur untuk membantu meningkatkan pencapaian ekonomi dalam negara kita," katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa parti itu perlu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dapat dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO lakukan gencatan politik, tumpu tangani Covid-19: Ahmad Zahid

Katanya, ia juga bagi memastikan kegelisahan rakyat akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

"Saya juga ingin menekankan pendirian UMNO mendokong kerajaan PN dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

"UMNO juga mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh penumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung mereka akibat kesan ekonomi dan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.