Lelaki curi kenderaan, pecah rumah ditangkap

Kenderaan yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kubang Semang. (Gambar kecil: Azhar Hashim)
Kenderaan yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kubang Semang. (Gambar kecil: Azhar Hashim)
A
A
A

KULIM - Seorang penganggur disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan ditahan di Jalan Sungai Karangan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, lelaki berusia 23 tahun dari Taman Kelisa Ria Sungai Petani itu dilihat mencurigakan semasa berada dalam sebuah kereta jenis Proton Persona warna ungu ketika melalui jalan terbabit menghala ke Kuala Ketil kira-kira jam 11 malam.

"Hasil pemeriksaan nombor chasis kenderaan mendapati Proton Persona terbabit dilaporkan hilang di Kubang Semang.

"Semakan rekod lampau juga mendapati suspek dikehendaki polis bersabit kes dadah di Sungai Petani dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Desa Aman, Sungai Karangan 6 Oktober lalu.

"Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Proton Waja dilarikan termasuk wang tunai RM2,400, kad bank, MyKad, lesen dan kad pekerja milik mangsa turut hilang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: