Pendapatan Koyaqin cecah RM700,000

Yaqinmart menyediakan kemudahan kepada kariah untuk mendapatkan barangan keperluan harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Yaqinmart menyediakan kemudahan kepada kariah untuk mendapatkan barangan keperluan harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

KEUNIKAN model perniagaan oleh Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (Koyaqin) membolehkan koperasi kariah masjid itu meraih pendapatan semasa berjumlah RM700,000 walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Koyaqin, Datuk Lamien Sawiyo berkata, jumlah pendapatan yang direkodkan sejak Januari lalu hingga kini, sama seperti angka yang direkodkan sepanjang tahun lalu seterusnya menunjukkan prestasi pada tahun ini semakin meningkat.

Menurutnya, perniagaan yang dijalankan terbahagi kepada beberapa cabang perkhidmatan merangkumi Yaqinmart yang merupakan kedai runcit barangan halal, Yaqin Bina (perkhidmatan pembinaan, ubah suai dan penyelenggaraan bangunan), Yaqin Travel (perkhidmatan perjalanan dan pelancongan patuh syariah) dan Yaqin Kafe dan Katering (penyediaan sarapan pagi dan jamuan).

Lamien Sawiyo. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Lamien Sawiyo. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

“Koyaqin ditubuhkan pada 23 Oktober 2015 untuk kita menggembleng segala sumber yang kita miliki untuk manfaat kariah masjid.

“Waktu itu, kita hanya ada modal syer sebanyak RM71,000 dan sekarang jumlah anggota bertambah kepada 343 orang dengan modal syer RM260,000.

“Selepas dua bulan Koyaqin didaftarkan, kita berjaya membuka sebuah kedai runcit yang dinamakan Yaqinmart selain Yaqin Bina yang memberi pendapatan paling tinggi kepada koperasi,” katanya pada temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di Pejabat Urusan Koyaqin di Petaling Jaya kelmarin.

Katanya, biarpun penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu memberi cabaran besar kepada mereka untuk menjalankan perniagaan, namun di sebalik ujian itu tersimpan hikmah apabila jumlah jualan yang diperoleh meningkat.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran ketika ini yang perlu dihadapi adalah mendapatkan bekalan barangan seperti bahan mentah dan produk makanan lain, susulan gangguan sistem rantaian logistik. Permintaan penduduk kariah ini juga melebihi daripada apa yang kita salurkan.

“Contohnya, setiap bulan kita dapat permintaan 15,000 ke 20,000 jumlah barang tetapi permintaannya naik kepada 30,000 hingga 80,000 sebelum ia kembali stabil. Bagi menyelesaikan isu itu, kita dapatkan sumber dari luar,” katanya.

Lamien berkata, kemudahan Yaqinmart membantu kariah masjid mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan dengan cara mudah menerusi aplikasi grup WhatsApp kariah masjid.

"Antara produk dijual Koyaqin yang mendapat permintaan tinggi ialah ayam segar dan ayam kampung sejuk beku yang diambil dari pembekal diyakini, produk jus asli nanas MD2 hasil kerjasama Koperasi Anak Selangor (Kosas) dan air mineral jenama Yaqin keluaran Koyaqin sendiri," katanya.

Kelebihan

Menurutnya, mereka menggunakan segala kelebihan untuk menjana pendapatan termasuk menerusi Yakin Bina yang diterajui Ahli Lembaga Koperasi Koyaqin, Muhammad Mustaqim Abdul Manap.

“Kita ada Yaqin Bina yang boleh baiki rumah dan masjid di kawasan sekitar. Koyaqin juga sentiasa mengintai ruang perniagaan berpotensi untuk diteroka dan pernah melaksanakan projek ternakan lembu jangka pendek untuk ibadah korban bermula Mac hingga Julai lalu.

"Ia membolehkan pihak masjid memenuhi permintaan kariah untuk melakukan ibadah korban apabila jumlah lembu yang disembelih meningkat kepada 19 ekor. Melalui projek ternakan jangka pendek itu, kami ternak 20 ekor lembu di kandang kami di Jelebu,” katanya.

Bantuan SKM

Koyaqin turut bekerjasama dengan koperasi luar seperti Koperasi Pekebun Kecil Getah di Mersing pada tahun 2018 melalui projek ternakan lembu tenusu yang mana hasil tenusu itu dibekalkan kepada syarikat susu segar terkemuka, FarmFresh.

Katanya, Koyaqin bertuah kerana sehingga kini menerima bantuan sebanyak RM35,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membuka Yaqinmart dan melaksanakan program Jualan Harga Patut ketika PKP dikuatkuasakan.

“Kita terima bantuan RM30,000 untuk membeli peralatan kedai dan RM5,000 lagi diterima untuk kempen jualan harga patut,” katanya.

Jawatankuasa Koyaqin bergambar bersama Penolong Pengarah Kanan SKM Cawangan Selangor, Naidatul Shima Anuar (dua dari kiri) dan Pegawai Komunikasi Korporat SKM, Mohd Aliff Redzuan Azman (kiri) yang datang melawat ke Pejabat Urusan Koyaqin di Petaling Jaya kelmarin. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Jawatankuasa Koyaqin bergambar bersama Penolong Pengarah Kanan SKM Cawangan Selangor, Naidatul Shima Anuar (dua dari kiri) dan Pegawai Komunikasi Korporat SKM, Mohd Aliff Redzuan Azman (kiri) yang datang melawat ke Pejabat Urusan Koyaqin di Petaling Jaya kelmarin. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

Sementara itu, Penasihat Syariah Koyaqin merangkap imam masjid itu, Ustaz Mohd Fazri Ahmad Murad berkata, semua produk perkhidmatan dan jualan Koyaqin menggunakan jenama Yaqin dengan slogan Berjemaah Bertambah Berkat kerana mereka mahu menyatukan ahli kariah supaya produk yang dikeluarkan dipakai bersama.

Berkongsi mengenai perkhidmatan perjalanan dan pelancongan patuh syariah, beliau yang mengetuai Yaqin Travel berkata, sejak tahun 2018, pelbagai lawatan telah dilaksanakan termasuk program umrah dan menyalurkan sumbangan kepada rumah anak yatim serta pusat tahfiz di banyak negara.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, menurutnya, Koyaqin merancang membina gudang simpanan barangan binaan, bilik sejuk beku dan ruang pejabat bersaiz kecil yang menelan kos RM150,000.

Katanya, Koyaqin juga dalam proses menjadi ejen perbankan Co-opbank seterusnya memudahkan kariah membayar bil utiliti termasuk kemudahan pengeluaran wang.

"Kita juga sedang dalam proses mengeluarkan gula, tepung gandum dan minyak masak jenama Yaqin yang dijangka dipasarkan dalam tempoh dua bulan lagi," katanya.