Cubaan eksport mesin curi ke China

Nurulhuda (kanan) bersama pegawainya menunjukkan mesin dan lori yang dirampas dalam serbuan berkenaan
Nurulhuda (kanan) bersama pegawainya menunjukkan mesin dan lori yang dirampas dalam serbuan berkenaan
A
A
A

KAPAR - Kegiatan mencuri dan cubaan mengeksport pelbagai jenis mesin bernilai jutaan ringgit ke China berjaya digagalkan polis apabila berjaya menahan lima individu dalam dua serbuan semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, lima suspek berusia 27 hingga 48 tahun dan merupakan warga tempatan itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Klang Utara.

"Bertindak atas maklumat awam dan risikan polis menyerbu balai ketibaan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) 2 semalam pada jam 10 pagi.

"Dalam serbuan itu menahan dua lelaki yang ketika itu baru tiba dari Pulau Pinang dipercayai suspek utama kes ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Klang Utara hari ini.

Nurulhuda berkata, susulan tangkapan pertama sepasukan polis kemudian menyerbu sebuah gudang di Bandar Sultan Sulaiman dan menahan lagi tiga lelaki.

"Pemeriksaan di gudang berkenaan, polis turut menemui sembilan mesin transfomer, sembilan mesin injection moulding plastik, sembilan keping besi casis mesin dan dua lori 16 tayar yang mana nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM3.6juta.

"Dengan tertangkapnya lima individu ini, polis yakin berjaya menyelesaikan satu kejadian curi yang berlaku di sebuah kilang membuat bekas makanan di Bandar Sultan Sulaiman Pelabuhan Klang pada Sabtu lalu," katanya.

Katanya lagi, dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tiga lelaki menyamar sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang untuk memeriksa kotak suis utama kilang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Ketika itu, kilang sedang bercuti dan dua pengawal keselamatan kemudiannya telah diikat sebelum suspek melarikan sembilan mesin injection moulding plastik menggunakan dua buah lori.

"Masa yang diambil untuk kegiatan itu adalah dua jam dan mesin berkenaan disorok di sebuah gudang yang disewa suspek terletak sekitar tiga kilometer dari lokasi kilang," katanya.

Nurulhuda memberitahu, hasil soal siasat ke atas suspek, mesin berkenaan akan dieksport ke China dan mereka juga telah mempunyai pembeli dan telah menerima bayaran.

"Kesemua mesin yang bernilai jutaan ringgit dijual kepada pembeli dari China dengan harga hanya RM900,000.

"Berdasarkan semakan, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dua suspek yang ditahan di KLIA didapati menjalankan perniagaan sewaan gudang di Pelabuhan Klang.

"Kesemua mereka direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Nurulhuda menambah, pihaknya masih lagi menyiasat sama ada dalang sindiket ini terdiri daripada mereka yang telah ditahan atau masih bebas.

"Walau bagaimanapun kami tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan berdasarkan sesi soal siasat kita nanti.

"Dalam masa yang sama, polis juga akan melihat keperluan sama ada akan menjalinkan bekerjasama dengan pihak berkuasa China atau sebaliknya bagi menyelesaikan kes ini," katanya lagi.