JPNK siasat dua tekong darat ceroboh hutan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) akan menjalankan siasatan terhadap dua tekong darat yang didapati menceroboh Hutan Rizab Sungai Badak, Kubang Pasu selepas mereka ditahan kerana menyeludup 1.5 tan daun ketum di kawasan terbabit, kelmarin.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihak polis sudah menyerahkan dua lelaki terbabit kepada JPNK yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Berdasarkan siasatan awal katanya, kedua-duanya berusia 28 dan 31 tahun itu menceroboh hutan di kompartmen 12 Hutan Rizab Sungai Badak.

"Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah diserahkan kembali kepada polis untuk disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pegawai penyiasat JPNK setelah selesai tahanan reman polis.

Tambahnya, JPNK memandang serius kejadian menceroboh hutan di negeri ini termasuk untuk tujuan penyeludupan bahan terlarang.

Semalam, Markas Briged Keenam Infantri dalam kenyataan berkata, dua tekong darat terbabit ditahan dalam Operasi Benteng Zon Utara di sempadan negara bermula 18 hingga 21 Oktober lalu membabitkan rampasan 2.25 tan daun ketum bernilai RM96,157.

Katanya, dua lelaki terbabit menggunakan Proton Wira dan Proton Saga bagi mengangkut daun ketum di dalam plastik hitam sebelum ia ditinggalkan di Hutan Rizab Sungai Badak untuk diambil tekong dari Thailand.

Artikel Berkaitan: