Kehilangan pekerjaan akan bertambah

Penguncupan ekonomi dan kehilangan pekerjaan merupakan dua isu kritikal yang harus dihadapi sekiranya negara terpaksa melaksanakan total lockdown sekali lagi berikutan kenaikan membimbangkan jumlah kes Covid-19. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
Penguncupan ekonomi dan kehilangan pekerjaan merupakan dua isu kritikal yang harus dihadapi sekiranya negara terpaksa melaksanakan total lockdown sekali lagi berikutan kenaikan membimbangkan jumlah kes Covid-19. Gambar kecil: Mohd Afzanizam
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Penguncupan ekonomi dan kehilangan pekerjaan merupakan dua isu kritikal yang harus dihadapi sekiranya negara terpaksa melaksanakan total lockdown sekali lagi berikutan kenaikan membimbangkan jumlah kes Covid-19.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, sekiranya total lockdown terpaksa dilaksanakan, ekonomi pada suku keempat bakal menguncup pada kadar yang drastik.

“Ia seperti yang pernah dialami pada suku kedua tahun 2020 di mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merudum sebanyak 17 peratus,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Justeru, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya di beberapa negeri yang terkesan.

“Ini bermakna kerajaan mengambil pendekatan yang bersasar supaya kesan kepada ekonomi akibat daripada penularan wabak ini dapat diminimumkan,” katanya.

Kadar peratusan dan jumlah pengangguran di Malaysia
Kadar peratusan dan jumlah pengangguran di Malaysia

Tambah Mohd Afzanizam, dalam keadaan semasa kerajaan sentiasa cakna dan bertindak atas keperluan.

“Sebagai contoh, program KITA PRIHATIN dilancarkan baru-baru ini dengan peruntukan RM10 bilion dan ia dijangka memanfaatkan golongan peniaga serta golongan B40 dan M40 melalui bayaran pindahan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga baru-baru ini telah meningkatkan siling hutang kepada 60 peratus daripada nilai KDNK. Justeru, kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk terus memperkenalkan dan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi sekiranya terdapat keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, melihat angka rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Statistik Malaysia, kadar pengangguran menunjukkan trend penurunan iaitu kepada 4.7 peratus pada bulan Ogos berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei yang lalu. Namun jumlah yang menganggur masih lagi tinggi iaitu sekitar 741,000 orang.

“Pada tahun 2019, jumlah purata yang menganggur adalah 519,000 yang mana pada tahun tersebut ekonomi berada pada tahap guna tenaga penuh. “Kadar pengangguran pula adalah 3.3 peratus pada ketika itu. Situasi pasaran buruh masih belum pulih sepenuhnya meskipun kadar pengangguran telah menurun,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, perkara ini menuntut pihak kerajaan untuk terus campur tangan bagi menstabilkan kelembapan pasaran buruh.

“Ini dibuktikan melalui langkah-langkah yang telah diperkenalkan kerajaan sebelum ini,” katanya.