Pasukan Lembah Klang kena lebih luar biasa

Kesebelasan UiTM FC. Foto UiTM FC. - Gambar kecil: Mustaza Ahmad
Kesebelasan UiTM FC. Foto UiTM FC. - Gambar kecil: Mustaza Ahmad
A
A
A

"KEBENARAN untuk pasukan-pasukan Lembah Klang menjalani semula latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) antaranya tidak membabitkan sentuhan satu sama lain selain latihan dalam skala kecil merupakan satu cabaran dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.”

Itu respons Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad sambil menyifatkan kebenaran berkenaan menuntut pasukan di Lembah Klang khasnya The Lions untuk berlatih dalam norma baharu yang lebih luar biasa bagi mengembalikan momentum positif masing-masing selepas pelaksanaan PKPB pada 14 Oktober lalu yang secara tidak langsung menjejaskan rentak setiap pasukan.

“Alhamdulillah syukur, terima kasih kepada MKN dan MFL yang peka akan masalah dihadapi pasukan Lembah Klang apabila membenarkan pasukan-pasukan ini kembali menjalani latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami di UiTM FC akur arahan MKN dan MFL berhubung SOP ditetapkan pihak berwajib yang secara tidak langsung menuntut semua pasukan di Lembah Klang mempersiapkan diri dengan cara lebih luar biasa berbanding pasukan lain bagi mengharungi saingan kalah mati Piala Malaysia pada November ini," katanya.

Menurutnya, kebenaran memulakan semula latihan mengikut SOP bermula dengan latihan dalam kumpulan kecil 10 pemain pada satu-satu sesi dan latihan tanpa kontak adalah cabaran kepada setiap pasukan terutamanya dalam aspek taktikal jurulatih.

“Semasa PKP sebelum ini pun semua pasukan Liga Malaysia pun melalui proses sebegini.

“Cumanya bagi UiTM FC, kami kena lebih kreatif dalam merancang persediaan pasukan kerana akan berdepan Sabah hujung bulan ini sebelum mengharungi kempen Piala Malaysia beberapa hari selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian.

The Lions dijadualkan melabuh kempen CIMB Liga Super musim ini dengan melayan kunjungan Sabah di Stadium UiTM Shah Alam hujung bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Anak buah Frank Bernhardt selepas itu akan meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) dengan kempen TM Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6, 7 dan 8 November depan.

Pada masa sama, Mustaza tidak menolak kemungkinan The Lions akan mengadakan latihan di luar Lembah Klang sebagai persiapan mengharungi saingan piala tertua bola sepak negara itu.

“The Lions juga dalam perancangan mengadakan latihan di luar Lembah Klang, mungkin di Negeri Sembilan. Cumanya buat masa ini kami akan fokus kepada latihan dalam kumpulan kecil dan latihan tanpa kontak.

“Kemudian kami akan tengok apa lagi yang boleh dilakukan bagi meningkatkan prestasi pemain berdasarkan peraturan taktikal Frank Bernhardt sebelum perlawanan bermula,” katanya.