Tindakan tegas peniaga ingkar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU – Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata tindakan tegas bakal diambil terhadap peniaga di negeri ini yang masih ingkar mematuhi harga barangan yang ditetapkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019.

Beliau berkata mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan itu bakal dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011 iaitu boleh didenda RM100,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu kita minta semua peniaga di negeri ini memberi kerjasama mematuhi skim kawalan harga berkenaan yang bermula semalam sehingga 8 Feb depan. Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan kerana kesemua 12 barangan berkenaan mendapat permintaan yang tinggi semasa perayaan ini.

“Seramai 11 peniaga di negeri ini telah dikenakan denda selama skim kawalan harga ini dilaksanakan sepanjang tahun lepas...oleh itu kita mahukan agar tiada satu pun peniaga dikenakan denda pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Walkabout Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas.

Stephen Wong berkata barangan harga terkawal tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Sementara itu, Georgie berkata untuk memastikan semua peniaga mematuhi peraturan skim kawalan harga itu, pegawai KPDNHEP akan sentiasa berada di lokasi yang menjadi tumpuan ramai untuk menjalankanpemeriksaan dan pemantauan.

“Kita juga meminta orang ramai menyalurkan aduan kepada pihak kementerian sekiranya mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Georgie berkata sepanjang 1 Jan hingga semalam pihaknya telah merekodkan 174 kes atas pelbagai kesalahan di seluruh Sabah yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM641,207. - Bernama