Durakovic yakin Bos Gaurus berjuang habis-habisan

Durakovic (tengah) bersama pemain-pemain Perak selepas selesai sesi latihan bagi menghadapi saingan TM Piala Malaysia di Gymnasium Fitness Lifestyle hari ini. -foto BERNAMA
Durakovic (tengah) bersama pemain-pemain Perak selepas selesai sesi latihan bagi menghadapi saingan TM Piala Malaysia di Gymnasium Fitness Lifestyle hari ini. -foto BERNAMA
A
A
A

PENGENDALI Perak, Mehmed Durakovic mengakui menjuarai TM Piala Malaysia musim ini bukan tugas mudah, namun bukan halangan untuk pemain The Bos Gaurus menampilkan persembahan terbaik dalam merealisasikan sasaran tersebut.

Katanya, jika muncul juara ia merupakan satu bonus kerana skuad The Bos Gaurus akan meraih slot automatik ke Piala AFC yang akan berlangsung pada musim depan.

"Ia sudah pasti bukan satu tugas mudah kerana semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia akan cuba bermatian-matian untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.

"Saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kita berjaya menjadi juara dan merebut slot automatik ke Piala AFC. Jika berjaya ia satu kejayaan besar buat kita," katanya pada sidang media di Fitness Life Style di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis skuad The Bos Gaurus mampu menjulang kejuaraan Piala Malaysia sekali gus mengulangi pencapaian sama pada 2018.

Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Saad berkata, kejayaan menjuarai Piala Malaysia akan dapat menebus kegagalan dirinya dan rakan sepasukan untuk meraih sasaran muncul naib juara Liga Super selepas tewas di tangan Kedah 3-2 pada 11 Oktober lalu.

"Bagaimanapun saya tetap positif dan fokus untuk beri komitmen 100 peratus untuk Piala Malaysia. Saya juga harap semua pemain akan beri tumpuan yang sama, lupakan kekecewaan di Liga Super dan bangkit untuk pamerkan aksi terbaik," katanya.

Mengulas format kalah mati dipertandingkan pada kejohanan kali ini katanya, ia merupakan cabaran besar dan memberi peluang sama rata kepada semua pasukan untuk menjulang piala berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Nak atau tidak setiap pasukan kena harunginya dan saya harap Perak akan rebut peluang ini untuk muncul juara pada kali ini," katanya. - Bernama