Covid-19 ‘bunuh’ mental rakyat

Pandemik Covid-19 yang berulang dan berlarutan menyebabkan emosi penduduk seluruh dunia termasuk di Malaysia semakin tertekan

A
A
A
[LAPORAN KHAS] Pandemik Covid-19 memberi kesan psikologi negatif kepada orang ramai di seluruh dunia dengan menyebabkan gejala kegelisahan, stres dan kemurungan akibat proses kuarantin yang panjang dan tekanan ekonomi yang berterusan.

Malah, lebih menakutkan kemurungan dan tekanan yang tidak ditangani boleh mendorong kepada perbuatan bunuh diri termasuk yang berlaku di Sabah malam kelmarin selepas seorang pesakit yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 bertindak terjun dari bangunan hospital.

Pensyarah Kanan dan Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr Ruziana Masiran berkata, kesan psikologi terhadap manusia yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 boleh dilihat daripada beberapa sudut.

“Antaranya kesan psikologi akibat saringan positif Covid-19 itu sendiri, kesan psikologi akibat kuarantin, kesan psikologi akibat infodemik berkaitan Covid-19, kesan psikologi terhadap petugas barisan hadapan, kesan psikologi ke atas kanak-kanak, orang tua dan golongan yang dipinggirkan (contohnya pendatang asing dan banduan),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, di sesetengah negara, pandemik Covid-19 ini dilihat telah menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat selain mengakibatkan diskriminasi kaum dan kebencian.

“Bahkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan khusus bagi mengawal penyebaran stigma berkaitan penyakit ini. Di India, misalnya, pelbagai jenayah telah berlaku akibat ketakutan menjadi positif Covid-19,” katanya.

Beliau menambah, antara kesan psikologi akibat kuarantin atau isolasi pula adalah gejala kegelisahan (anxiety disorders), stres, atau kemurungan akibat perasaan hilang kawalan ke atas situasi pandemik itu.

[PAKAI EMBED CODE NI]

Artikel Berkaitan:


Katanya, gangguan emosi lain termasuklah perasaan mudah naik marah, kerisauan untuk dijangkiti dan menjangkiti virus tersebut, kesepian dan juga kecenderungan untuk membunuh diri.

“Kes-kes PUS (persons under surveillance) juga mungkin mengalami kegelisahan (anxiety disorders) disebabkan oleh ketidakpastian tentang status kesihatan mereka.

“Gangguan tekanan pasca-trauma (“posttraumatic stress disorder” atau PTSD) pernah dilaporkan di mana ia berkaitan rapat dengan tempoh kuarantin. Kesan psikologi pasca kuarantin pula ialah tekanan kewangan.

“Stigma akibat dipinggirkan masyarakat turut boleh dialami bukan sahaja oleh individu yang pernah disahkan positif Covid-19 tetapi juga ahli keluarga mereka mahupun petugas barisan hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kesan psikologi akibat infodemik berkaitan Covid-19 bermakna penyebaran maklumat berkaitan Covid-19 yang tidak tepat boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Situasi ini dikenali sebagai ‘social media panic’ atau ‘coronavirus infodemic’ yang boleh menyebabkan ketakutan secara besar-besaran dan sesetengah orang boleh mula mengalami gejala-gelaja penyakit mental yang serius jika terpengaruh dengan berita atau maklumat yang salah.

“Bagi petugas barisan hadapan, beban tugas, kekurangan bekalan pembersihan atau PPE, dan isu kesihatan ahli keluarga boleh menyebabkan mereka mengalami gejala-gejala penyakit mental seperti kemurungan atau kegelisahan.

“Kajian di China menunjukkan separuh daripada petugas yang menguruskan pesakit Covid-19 mengalami kemurungan ringan, satu pertiga mengalami insomnia dan lebih kurang 15 peratus mengalami kemurungan yang lebih serius,” katanya.