X

Kindly register in order to view this article
!

Penempatan setinggan lokasi penularan Covid-19

Koloni setinggan berlaku penularan Covid-19 dikenal pasti di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak lapan kawasan setinggan dikenal pasti antara tempat penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kawasan setinggan itu membabitkan daerah Semporna dan Kota Kinabalu.

"Maklumat yang diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beberapa koloni setinggan dikenal pasti iaitu lima koloni setinggan di Semporna ialah Kampung Bangau-Bangau, Kampung Selamat, Kampung Panji, Kampung Bakau dan Kampung Air.

"Bagi kawasan Kota Kinabalu adalah di penempatan Telipok, Pulau Gaya dan Kampung Numbak," katanya pada sidang akhbar hariannya di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berapa banyak koloni setinggan dikenal pasti berlaku penularan Covid-19 di Sabah.

Ketika diminta mengulas berhubung peratusan kes dan kluster melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, Masidi berkata, sebanyak 13.3 peratus direkodkan dan terdapat sebanyak 27 kluster membabitkan individu bukan warganegara.

"Kes yang melibatkan bukan warganegara sekitar 13.3 peratus secara keseluruhan dan ia melibatkan 1,236 kes.

"Rekod kita adalah sebanyak 27 kluster daripada 35 kluster setakat ini," katanya.

Terdahulu, beliau turut menjelaskan keputusan saringan tertangguh (backlog) Covid-19 masih berbaki sebanyak 6,653 kes dan usaha untuk memproses sampel itu sedang giat dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sukar untuk mengetahui tempoh sebenar bila sampel itu berjaya diselesaikan, namun dengan bantuan daripada pelbagai pihak supaya keputusan itu diperoleh dengan segera.

"Usaha untuk menyelesaikan backlog iaitu ujian tertunggak yang belum selesai sedang giat dilakukan dan setakat ini masih terdapat sebanyak 6,653 kes tertunggak masih dalam proses untuk diurus.

"Diharap ia dapat diselesaikan selepas kerajaan melantik tiga makmal hospital swasta dan separuhnya dihantar oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kuala Lumpur untuk tujuan pemprosesan.

"Tetapi sukar untuk diselesaikan tetapi kita harap dapat angka yang lebih realistik dan akan menjadi cerminan yang tepat bagi kes di Sabah," katanya.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan Kota Kinabalu terus mencatat kes tertinggi seperti yang diberitahu semalam ia berkaitan dengan hasil saringan bagi kluster Penjara Kepayan.

"Angka kes baharu di Kota Kinabalu adalah sebanyak 233 kes dan seperti yang saya telah ingatkan semalam, jumlah kes di Kota Kinabalu dijangka meningkat hari ini dan beberapa hari akan datang kerana kluster Penjara Kepayan.

"Daripada 233 kes yang direkodkan hari ini, sebanyak 156 adalah dari kluster Penjara Kepayan dan mereka adalah terdiri daripada banduan 145 orang, kakitangan di Kota Kinabalu (lapan orang) dan Papar (seorang).

"Selain itu, bekas banduan di Sipitang (seorang) dan kontak rapat kepada kakitangan (seorang)," katanya.

Berhubung kluster baharu, Masidi berkata, dua kluster baharu hari ini di Sabah iaitu kluster Sauh sebanyak 31 kes di Petronas Floating LNG dan luster Tinusa sebanyak 33 kes di Kampung Tinusa 2 di Sandakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!