KKM kaji keperluan buka PKRC di pulau, pedalaman Sabah

Dr Noor Hisham (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon (dua dari kiri) dan Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli (kanan) selepas sidang akhbar harian situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. - FOTO: BERNAMA
Dr Noor Hisham (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon (dua dari kiri) dan Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli (kanan) selepas sidang akhbar harian situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengkaji keperluan untuk membuka Pusat Rawatan dan Kuarantin berisiko rendah (PKRC) di kawasan pulau serta pedalaman di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya perlu membuat penilaian risiko dan mengkaji kepadatan sesuatu kawasan serta jumlah penduduk yang terlibat sebelum mengambil keputusan membuka PKRC.

“Kalau jumlah yang terlibat ramai mungkin kita (KKM) akan pertimbangkan tetapi kita perlu lihat isu logistik juga.

“Setakat ini KKM masih mengkaji dan kalau ada keperluan, insyaALLAH akan dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan aktivis yang meminta PKRC dibuka di kawasan pulau dan pedalaman Sabah sebagai langkah penyelesaian terhadap penduduk yang kurang pengetahuan terhadap Covid-19.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata, cabaran terbesar yang dihadapi petugas KKM dalam mengekang penularan Covid-19 di Sabah ialah terpaksa meredah hutan tebal bagi menjalankan pengesanan kontak.

Ini kerana, kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman negeri itu bertindak melarikan diri apabila melihat pihak berkuasa datang ke kampung mereka bagi menjalankan ujian saringan Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, keadaan itu berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang pandemik tersebut dalam kalangan komuniti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai sama ada wanita berpurdah juga perlu memakai pelitup muka, beliau berkata, mereka yang memakai purdah perlu memakai pelitup muka fabrik atau pelitup muka perubatan jenis tiga lapis sebagai langkah mengekang jangkitan Covid-19.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesyorkan untuk memakai pelitup muka yang mempunyai tiga lapisan fabrik... jadi kita kena ikut syor WHO.

“Kalau pakai purdah hanya satu lapisan dan ia tidak cukup... jadi untuk yang pakai purdah kita cadangkan mereka pakai pelitup muka fabrik atau pelitup muka tiga lapisan,” katanya.

-Bernama