Kelantan catat tiga kes baharu Covid-19

Laporan terkini Covid-19 di Kelantan. Foto: Sumber FB JKNK
Laporan terkini Covid-19 di Kelantan. Foto: Sumber FB JKNK
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan kembali mencatat pertambahan kes koronavirus (Covid-19) apabila tiga lagi kes baharu dicatatkan hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia melibatkan kontak rapat kes sah dari kes ke-174, 175 dan 176.

“Tiga kes baharu positif Covid-19 di Kelantan (Mukim Kusial, Tanah Merah dan Mukim Pangkal Meleret, Machang) dicatatkan hari ini,” katanya hari ini.

Berikutan itu Dr Izani mengingatkan masyarakat di negeri ini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi diri dan patuhi SOP selain menjaga penjarakkan fizikal,” katanya.

Sementara itu, Facebook Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) memaklumkan kes ke-176 (Mukim Pangkal Meleret, Machang) merupakan kontak rapat kepada kes ke-174.

Kes ke-177 (Mukim Kusial, Tanah Merah) pula merupakan kontak rapat kepada kes ke-175, manakala kes ke-178 (Mukim Pangkal Meleret, Machang) adalah kontak rapat kepada kes ke-176.

Sehubungan itu, terdapat tujuh kes aktif atau tujuh kes dalam rawatan dan tiada kes sembuh serta discaj dilaporkan di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai dinasihatkan untuk elak kawasan sesak, sempit dan elak sembang atau bertutur dalam jarak dekat selain amalkan mencuci tangan dan memakai pelitup muka.

Dalam masa sama, elakkan bersalaman atau bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam.