Kekeliruan arahan bekerja: Kerajaan digesa berbincang dengan MTUC

Mohd Effendy
Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihaknya sebagai organisasi yang mewakili pekerja susulan arahan mengelirukan dikeluarkan kerajaan kepada pekerja di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mengadakan perjumpaan dengan MTUC sebelum sesuatu keputusan diumumkan kepada pekerja kerana situasi yang berlaku sekarang boleh menimbulkan pelbagai konflik.

Menurutnya, pertemuan itu untuk membincangkan perkara penting berkaitan arahan kerajaan iaitu tentang ujian saringan koronavirus (Covid-19), subsidi internet dan elektrik, kapasiti kelajuan internet dan perlanjutan tempoh moratorium.

“Dari segi ujian saringan Covid-19, MTUC mengalu-alukan inisiatif untuk melakukan ujian itu terhadap pekerja yang berisiko tinggi dan mereka yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, MTUC berpendapat kerajaan harus menanggung atau memberi baucar bagi membolehkan pekerja berisiko menjalani ujian Covid-19. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu memainkan peranan penting bagi membiayai kos bagi pekerja untuk menjalani ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan dan penyeliaan dalam zon merah kawasan PKPB diarah bekerja dari rumah berkuat kuasa hari ini.

Arahan itu meliputi satu juta kakitangan di kedua-dua sektor membabitkan Wilayah Persekutuan Kula Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah untuk mengekang penularan dan kewujudan kluster baharu Covid-19 di tempat kerja.

Namun, arahan yang diberikan secara umum itu menimbulkan kekeliruan dan rungutan dalam kalangan pekerja selain kerajaan turut mewajibkan pekerja yang tinggal di zon merah perlu menjalani ujian calitan (swab).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, majikan juga boleh membantu melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara menang-menang memandangkan komitmen pekerja kepada syarikat demi kelangsungan kedua-dua pihak.

Menurutnya, ujian saringan Covid-19 amat penting bagi memastikan keadaan yang sihat serta menghentikan penularan wabak Covid-19.

“MTUC juga menyaran supaya di dalam Perjanjian Bersama Syarikat (CA) untuk terma perubatan dimasukkan terma Covid-19 ini.

"Di samping itu pihak insurans juga boleh mengambil inisiatif untuk memasukkan Covid-19 dalam kategori lingkungan penyakit,” katanya.

Mohd Effendy menegaskan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk pemberian subsidi penggunaan internet dan elektrik kepada pekerja yang berada dalam lingkungan kawasan zon merah dan perlu bekerja dari rumah terutama di Sabah dan Lembah Klang.

“Pekerja terpaksa menanggung kos lebihan untuk melakukan kerja dari rumah seperti menambah data telefon dan penggunaan elektrik di mana pekerja tidak mendapat apa-apa tambahan pendapatan dan hanya menerima gaji pokok sahaja.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima MTUC sebelum ini juga, pelaksanaan kerja dari rumah menyebabkan kelajuan internet menjadi perlahan dan kadang-kadang perkhidmatan internet tergendala. Keadaan ini juga boleh menyebabkan gangguan kerja-kerja dari rumah,” katanya.

Justeru, katanya, MTUC turut memohon supaya kelajuan internet dapat dinaik taraf untuk kemudahan pekerja yang bekerja dari rumah.

Dalam perkembangan sama, Mohd Effendy turut memohon kerajaan menyarankan kepada semua bank agar tempoh moratorium pinjaman dilanjutkan sehingga Mac 2021 kerana ramai pekerja hilang mata pencarian ekoran operasi perniagaan menerima implikasi buruk kesan penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan juga boleh mengadakan One Stop Centre bagi platform maklumat serta perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan setiap keputusan adalah sama dan konsisten daripada semua pihak yang terlibat.