Ini punca pekerja asing mogok di Sepang

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati punca pekerja-pekerja warga asing di kilang pembuatan sarung tangan di Sepang mogok selama tiga hari adalah disebabkan kegagalan majikan membayar gaji mereka dari bulan November 2018 hingga Januari 2019.

Siasatan jabatan itu turut mengesan beberapa kesalahan lain majikan antaranya lewat membayar upah kerja lebih masa, potongan upah tidak sah, pengiraan upah kerja pada hari rehat, pengiraan upah kerja lebih masa pada hari biasa, pengiraan upah kerja pada hari kelepasan am dan pengiraan upah kira lebih masa pada hari kelepaan am.

Dalam satu kenyataan hari ini JTK berkata siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima panggilan telefon daripada polis Selasa lepas mengenai kejadian mogok oleh pekerja-pekerja asing WRP Asia Pacifik Sdn Bhd.

Perbincangan antara pengurusan WRP Asia Pacifik, Jabatan Perusahaan Perhubungan, Kedutaan Nepal dan Kedutaan Bangladesh, menghasilkan komitmen dan persetujuan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran gaji pekerja, kata JTK.

JTK berkata pihaknya juga mendapatkan izin dakwa terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh majikan.

"Pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat bagi memastikan kesalahan yang sama tidak berulang selain memberi peringatan kepada lain-lain majikan,” katanya.

Hampir 2,000 pekerja Nepal di kilang pembuatan sarung tangan menamatkan mogok tiga hari mereka pada Selasa lalu selepas pihak pengurusan berjanji untuk melangsaikan bayaran gaji mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: