X

Kindly register in order to view this article
!

Ah long sasar pekerja Malaysia di Singapura

Ayob Khan (tengah) menunjukkan carta aliran pinjaman wang daripada ah long untuk memerangkap mangsanya selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Kebanyakan ah long di negeri ini menyasarkan pekerja Malaysia yang berada di Singapura sebagai mangsa mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara modus operasi ceti haram ini adalah mereka akan mencari mangsa dalam media sosial dan apabila berjaya menarik minat untuk meminjam, peminjam diminta memberikan segala maklumat peribadi termasuk akaun bank tanpa menjelaskan syarat-syarat tawaran pinjaman.

Menurutnya, apabila mendapat nombor akaun mereka akan memasukkan wang biasanya antara 400 hingga 1,500 dolar Singapura sebelum mendapat kebenaran atau persetujuan mangsa untuk meminjam.

"Ini dilakukan secara paksa selepas mereka mendapat nombor akaun peminjam. Peminjam belum kata setuju untuk meminjam tetapi wang sudah dimasukkan ke dalam akaun peminjam.

"Selepas itu barulah ah long akan beritahu, kadar bunga yang dikenakan antara 15 hingga 20 peratus. Pembayaran perlu dibuat tiga kali sebulan dan setiap minggu perlu membuat pembayaran. Gagal bayar akan diugut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, kegiatan ceti haram berkenaan tidak bertahan lama apabila lapan ah long ditangkap dalam dua serbuan pada 29 September hingga 12 Oktober lalu.

Katanya, menerusi serbuan pertama, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor menahan enam lelaki tempatan di Rumah Pangsa Bukit Baru Jaya, Bukit Baru Dalam, Melaka, manakala serbuan kedua dua lagi lelaki tempatan ditahan di sebuah premis di Danga Bay di sini.

Menerusi dua serbuan itu katanya, pihak polis merampas antaranya 10 komputer riba, 31 telefon bimbit, lima kalkulator, tujuh modem, 12 keping kad sim Singtel, sembilan kad bank dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Katanya, dari awal tahun hingga 17 Oktober lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Johor berjaya menangkap 42 ah long dan daripada jumlah itu, 27 sudah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (Poca).

"Seramai 11 lagi dikenakan perintah pengawasan, empat dikenakan perintah tahanan manakala 12 masih dalam reman tahanan Poca," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!