X

Kindly register in order to view this article
!

Strain Kluster Sri Petaling dari Indonesia

Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Strain virus koronavirus (Covid-19) yang didapati daripada kluster terbesar di negara ini iaitu Kluster Sri Petaling disahkan dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada permulaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengandaikan ianya dari Indonesia kerana terdapat 692 jemaah dari negara itu.

"Selepas kajian dan penjujukan genom dilakukan, kami dapati strain kluster itu adalah dari Indonesia," katanya.

Menurutnya, penjujukan genom yang dijalankan terhadap sampel daripada pesakit dalam Depot Tahanan Imigresen juga menunjukkan ada antara warga Indonesia yang ditahan turut menghadiri perhimpunan sama.

Perhimpunan Tabligh diadakan di Masjid Sri Petaling selama tiga hari bermula 27 Februari membabitkan 16,000 jemaah.

Seramai 42,023 individu dalam kluster tersebut telah disaring.

Daripada jumlah itu, 3,375 kes telah dilaporkan positif dan seramai 34 pesakit meninggal dunia berkaitan Covid-19 dalam kluster tersebut.

Sebanyak 17 subkluster dikesan di bawah Kluster Perhimpunan Sri Petaling yang melibatkan tujuh negeri.

Kluster Sri Petaling berjaya ditamatkan pada 8 Julai lalu sejak ia dikesan seminggu selepas perhimpunan tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, penjujukan genom yang dijalankan terhadap pesakit Covid-19 dalam kluster atau lokaliti membantu kesiapsiagaan KKM dalam menangani penularan.

"Malaysia telah menjalankan penjujukan genom sejak awal lagi tetapi bukan kepada semua kes yang disahkan positif.

"Apa yang penting kita melihat kepada kluster yang akan membantu perancangan strategik KKM, membuat kesiapsiagaan dan sebagainya," katanya.

Katanya, penjujukan genom memakan masa sehingga tiga minggu sebelum sesuatu dapat dikenalpasti.

"Daripada penjujukan genom, kita dapati banyak mutasi D614G sudah menggantikan jenis virus yang sebelum ini menjadi punca jangkitan sejak tahun lalu," katanya.

Tambahnya, Kedah, Sabah dan Johor dikenalpasti mempunyai mutasi D614G.

"Kita sedang menjalankan pengasingan kultur bagi kes positif di Selangor yang pulang dari Sabah untuk memastikan virus berkenaan benar-benar dari negeri itu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!