Enam ah long ganas, kejam ditahan

Ayob Khan menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan mangsa dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan mangsa dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan enam ahli sindiket ah long dalam lima serbuan sekitar daerah ini dan Ayer Hitam, Batu Pahat pada 15 hingga 18 Oktober lalu yang bertindak ganas dan kejam terhadap peminjamnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia 25 hingga 35 tahun.

Menurutnya, mereka dipercayai membaling cat dan khianat dengan api melibatkan dua rumah dan pejabat di daerah ini dan Kulai baru-baru ini sehingga tular dalam media sosial.

"Hasil serbuan pihak polis berjaya merampas pelbagai barangan dan kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda, Proton Wira, satu unit komputer riba, satu unit komputer, sembilan telefon bimbit pelbagai jenis dan dua kad sim.

"Turut dirampas lima kad bank pelbagai jenis, 67 kertas dan buku disyaki tercatat nama serta nilai peminjam wang, sepucuk pistol tiruan air soft gun dan sebilah parang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Pada 8.30 malam, 3 Oktober lalu tular satu rakaman video berdurasi 11 minit 50 saat dalam Youtube dan Facebook yang dilakukan tiga mangsa ah long tersebut.

Rakaman video tersebut mendedahkan rumah kakak dan kawan mangsa serta pejabat di Johor Bahru dan Kulai disimbah cat dan dikhianati dengan api.

Dalam video tersebut mangsa meminta bantuan Ayob Khan untuk menghadapi situasi tersebut kerana bimbang dengan ancaman dan ugutan jenayah yang dibuat ah long.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati empat suspek memiliki rekod lampau iaitu kekerasan dengan mendatangkan cedera parah, penipuan dan mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes dadah.

Katanya, empat suspek direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (Poca) selama 21 hari bermula hari ini hingga 10 November ini manakala dua suspek lagi direman enam hari bermula semalam hingga 20 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (Khianat Dengan Api); Seksyen 435 Kanun Keseksaan; Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat Kepada Harta Benda) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 19 (Miliki Senjata Tiruan)," katanya.