'Lupakan perbezaan politik, bersama perangi Covid-19'

Ismail Sabri bercakap ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri bercakap ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua pihak perlu melupakan perbezaan politik ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) dan bersama dalam memerangi penularan virus itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, apa yang penting ketika ini adalah memutuskan rantaian Covid-19 dan menyekat penularan virus itu dalam negara.

“Saya dah beritahu, lupakan perbezaan politik, yang penting saya pun nak mengajak dia (Ahli Parlimen Segambut,Hannah Yeoh Tseow Suan) bersama untuk fokuskan tenaga kita untuk sama-sama memerangi pandemik Covid-19.

“Sama-sama kita menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. InsyaALLAH jika kita bersama, kita akan menang, kita akan berjaya,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Ismail Sabri memberi reaksi terhadap gesaan Yeoh menerusi laman sosial Twitter yang mahu beliau berhenti mengadakan sidang akhbar harian jika tiada pengumuman substantif yang dapat membantu rakyat.

Ismail Sabri menjelaskan, beliau bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung tindakan diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Orang nak (mahu) pihak berkuasa ambil tindakan kerana tindakan itu boleh menyelamatkan orang lain dan rakyat nak tahu apa tindakan yang diambil kerajaan.

“Kalau saya tidak laporkan, orang menganggap kerajaan tidak melakukan apa-apa terhadap mereka yang melanggar SOP, membimbangkan dan membahayakan orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rakyat juga mahu tahu sekiranya tindakan tegas diambil terhadap pendatang asing tanpa izin yang turut menjadi punca penularan Covid-19 di dalam negara.

Ismail Sabri juga menegaskan seperti yang ditetapkan sebelum ini, beliau hanya memberi sidang akhbar berhubung keselamatan, sementara Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menyalurkan maklumat berkaitan kesihatan. - Bernama