Enam PATI ditahan seludup rokok bernilai RM4.8 juta

Enam PATI ditahan APMM selepas didapati cuba menyeludup rokok ke Sandakan.
Enam PATI ditahan APMM selepas didapati cuba menyeludup rokok ke Sandakan.
A
A
A

SANDAKAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan menahan enam lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana cuba menyeludup masuk rokok putih bernilai RM4.8 juta di perairan Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, sebanyak 19,900 karton mengandungi 3.98 juta batang rokok putih dipercayai dari negara jiran cuba diseludup ke perairan Sandakan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, enam PATI berusia 20 hingga 54 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan Op Benteng di kawasan itu.

"Ketika rondaan dibuat, terdapat sebuah bot nelayan tempatan dilihat dalam keadaan mencurigakan dan ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemui 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai tanpa cukai RM1.9 juta, manakala nilai cukai pula dianggarkan RM2.8 juta," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Pasukan APPM menunjukkan rokok yang dirampas di perairan Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan, Sandakan.
Pasukan APPM menunjukkan rokok yang dirampas di perairan Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan, Sandakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kru dan tekong didapati gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semua individu disyaki warga Filipina dan pemeriksaan pada lesen bot didapati telah tamat tempoh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Zainudin berkata, semua PATI itu ditahan dan barang dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk bot adalah dianggarkan RM4.8 juta.

"Bot bersama kru dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

"Saringan ujian koronavirus (Covid-19) juga mendapati salah seorang daripada PATI itu positif dan telah dimasukkan ke hospital manakala lima lagi negatif serta diasingkan dan dikuarantin di lokap," katanya.

Terdahulu, Zainudin berkata, APMM Sandakan akan terus meningkatkan kawalan di sempadan perairan negara dalam usaha memerangi penularan Covid-19 di Sabah di samping menyekat aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah lain di kawasan itu.

Rokok yang cuba diseludup masuk ke Sandakan dengan menggunakan bot tempatan.
Rokok yang cuba diseludup masuk ke Sandakan dengan menggunakan bot tempatan.