STIAS sahkan 33 pelajarnya positif Covid-19

Tangkap layar Facebook STIAS memaklumkan 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.
Tangkap layar Facebook STIAS memaklumkan 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.
A
A
A

SEREMBAN - Pengelola Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) Senawang mengesahkan seramai 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19 semalam.

Menerusi Facebook Sekolah Tinggi Islam As-Sofa Seremban 'Tahfiz & Qiraat', pihaknya menerusi kenyataan pengerusinya, Abdullah Abdol Razak memberitahu keputusan tersebut diperoleh hasil daripada ujian saringan yang telah dibuat terhadap seluruh warga kerja dan pelajar sekolah itu, berikutan salah seorang pelajarnya didapati positif Covid-19.

"Seperti yang sedang tular di media sosial sekarang, salah satu institusi pendidikan As-Sofa, STIAS Senawang telah diuji apabila seramai 33 orang pelajarnya disahkan positif Covid-19 semalam.

"Pihak pengurusan sekolah telah mengambil tindakan pantas kuarantin kendiri dengan tidak membenarkan warganya keluar daripada kawasan sekolah dan tidak membenarkan sesiapa pun untuk masuk ke kawasan sekolah sebaik sahaja mengetahui ada pelajarnya yang positif Covid-19, "katanya.

Menurutnya, kesemua 33 orang pelajar tersebut telah pun dibawa ke pusat kuarantin khas oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sementara baki pelajar dan warga kerja yang masih belum mendapat keputusan juga sedang menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian daripada KKM.

"Untuk makluman juga, seluruh kawasan sekolah STIAS Senawang telah disanitasi dan kini sudah pun ditutup dan dikosongkan sepenuhnya.

"Yayasan Sofa memohon seluruh umat Islam untuk mendoakan kesejahteraan seluruh warga STIAS Senawang secara khususnya, dan kesejahteraan seluruh umat secara umumnya daripada ujian wabak Covid-19 yang sedang melanda ini.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya, ALLAH adalah Tuhan Yang Maha Menyembuhkan dan hanya kepada-Nya lah tempat kita menyandarkan harapan," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan mengesahkan terdapat kes pelajar positif Covid-19 di STIAS, Senawang Industrial Park di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar pelajar yang positif bukannya 33 orang seperti mana maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak malam tadi.