B40, OKU boleh mohon pengecualian kos kuarantin

 Individu tertentu seperti golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh memohon pengecualian bayaran kuarantin atau pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM). Gambar hiasan
Individu tertentu seperti golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh memohon pengecualian bayaran kuarantin atau pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM). Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu tertentu seperti golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh memohon pengecualian bayaran kuarantin atau pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM), demikian menurut Menteri Kanan ( Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah menetapkan kos kuarantin, namun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kuasa bagi mengurangkan bayaran dan pengecualian bayaran adalah terletak atas budi bicara Menteri Kesihatan.

"B40, OKU, pelajar B40 dan kes-kes tertentu boleh juga memohon...kes-kes seperti dibuang kerja tentu sahaja menghadapi masalah kewangan, jadi kita faham sebab itu boleh merayu.

"Saya minta kepada pihak yang terlibat merayu kepada pihak Menteri Kesihatan... sila menulis surat secara rasmi memohon untuk mengecualikan atau pengurangan bayaran," katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian bagi mengulas isu video tular rakyat Malaysia di Singapura yang membangkitkan mengenai kos kuarantin yang membebankan selain beliau dihalang untuk pulang ke Malaysia oleh majikanya di Singapura.

Mengulas mengenai isu individu tersebut yang tidak mendapat kebenaran majikannya untuk pulang ke Malaysia, beliau berkata perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Kementerian Luar untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Singapura.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan tujuan pelaksanaan bekerja dari rumah adalah bagi mengurangkan pergerakan orang ramai untuk memutuskan penularan Covid-19 dalam negara.

“Jadi bila kita kurangkan pergerakan, mungkin lebih berjaya dari segi kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini sebab semakin kurang orang boleh berinteraksi antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itulah apabila orang kata kenapa kereta tidak boleh benarkan lebih daripada dua orang (tanpa mengikut saiz muatan kenderaan) sebab kita nak kurangkan jumlah individu yang berada di merata-rata tempat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menasihati para majikan supaya bertanggungjawab dalam memberi surat pelepasan kepada pekerja yang perlu merentas daerah untuk hadir ke tempat kerja.

“Saya harap perkara ini tidak perlulah kami nak ambil tindakan yang tegas dan sebagainya sebab majikan perlu tahu, jika pekerja yang dibayar gaji penuh tidak datang kerja, kerana kesilapan mereka (majikan) tidak keluarkan surat tersebut, yang rugi adalah syarikat mereka sendiri,” katanya. - Bernama.