X

Kindly register in order to view this article
!

847 kes baharu positif Covid-19

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kembali melonjak kepada 847 kes selepas mencatat penurunan semalam selain turut merekodkan lima lagi kematian baharu dan 486 kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan dalam tempoh 24 jam lepas itu menjadikan angka terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 23,804 kes dengan kes aktif sebanyak 8,183 kes.

Menurutnya, daripada 847 kes baharu, terdapat lima kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan di Selangor yang kesemuanya melibatkan bukan warganegara iaitu empat kes dari India dan satu kes dari Amerika Syarikat.

"Pada hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 578 kes (68.2 peratus). Ini adalah hasil usaha gigih yang dijalankan di negeri Sabah, yang lebih banyak petugas kesihatan telah dimobilisasikan daripada Semenanjung dan juga dari dalaman negeri Sabah untuk terus menjalankan saringan di lapangan.

"Bagi negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan pertambahan sebanyak 164 kes (19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Daripada 164 kes baharu, 71 kes (43.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan sebanyak 13 kes yang direkodkan hari ini adalah daripada Kluster Penjara Reman, Kluster Tembok dan saringan di Penjara Taiping dan Penjara Tapah, yang sememangnya terasing dan tidak menjangkiti masyarakat.

Beliau berkata, sebanyak 11 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lepas adalah sebanyak 465 kes.

Memperincikan jumlah kes di negeri lain, beliau berkata, Selangor mencatat 132 kes, Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan Labuan (29), Kuala Lumpur (23), Perak (14), Pulau Pinang (10), Putrajaya (empat), Kedah, Melaka dan Kelantan masing-masing tiga kes, Pahang (dua) manakala Terengganu, Johor dan Sarawak masing-masing satu kes.

"Sehingga kini, terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang 29 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Mengenai kematian baharu, beliau berkata, empat kes direkodkan di Sabah melibatkan tiga warganegara dan seorang warga asing manakala satu kes melibatkan warganegara di Kedah.

Dr Noor Hisham berkata, di Kedah, kematian ke-200 merupakan seorang wanita berusia 67 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Beliau berkata, di Sabah, kematian ke-201 merupakan seorang wanita berusia 65 tahun di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu yang tidak mempunyai sejarah latar belakang penyakit; kematian ke-202 seorang lelaki berusia 88 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan juga tiada sebarang latar belakang penyakit dan kematian ke-203 lelaki berumur 78 tahun di Hospital Tuaran yang menghidap penyakit strok.

"Satu kes lagi di Hospital Duchess of Kent, Sandakan iaitu kematian ke-204 melibatkan wanita bukan warganegara berusia 60 tahun yang tidak mempunyai latar belakang penyakit. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

"Dengan pertambahan lima kes kematian, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 204 kes," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!