Bersatu sambut baik gencatan politik

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik pendirian UMNO melaksanakan gencatan politik bagi mendokong usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) membantu rakyat mendepani pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu perlu disokong oleh semua pemimpin tanpa mengira kapasiti baik duduk di pihak pembangkang atau kerajaan.

"Ini fokus yang saya kira semua pemimpin patut sambut baik dan rakyat ketika ini pun mahukan para pemimpin berhenti berpolitik dengan memberi fokus terhadap usaha-usaha menangani Covid-19, bagaimana memulihkan ekonomi dan membuka semula peluang-peluang pekerjaan.

"Jadi saya harap tak ada lagi pemimpin-pemimpin yang mendakwa itu ini, mengambil masa Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap tubuh kerajaan atau sebagainya kerana semua orang patut bagi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, ini adalah masa yang tepat untuk ahli-ahli politik memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat atas peranan masing-masing.

"Politik ini bila tiba masanya, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen atau sebagainya, maka berpolitiklah balik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa parti itu melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dapat ditangani dan diutamakan.