899 kompaun dikeluarkan terhadap individu ingkar SOP

Shamsul Amar (kiri) meninjau orang ramai yang hadir di IPD Klang Selatan hari ini untuk mengisi borang permohonan rentas negeri.
Shamsul Amar (kiri) meninjau orang ramai yang hadir di IPD Klang Selatan hari ini untuk mengisi borang permohonan rentas negeri.
A
A
A

KLANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengeluarkan 899 kompaun membabitkan individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Jumlah itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 13 Mac hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 128 kompaun dikeluarkan bagi tempoh PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) (565) manakala 206 kompaun pada PKPB.

"Kesalahan utama membabitkan premis yang gagal menyediakan kemudahan asas SOP seperti buku catatan, alat pengimbas suhu dan cecair pembersih kuman.

"Selain itu, kompaun dikeluarkan atas kesalahan penjarakan fizikal di premis kedai makan dan tidak memakai pelitup muka di tempat yang sesak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Mengulas lanjut, bagi tempoh PKPB sejak 9 Oktober lalu, pihaknya telah menerima 2,900 permohonan rentas negeri namun sebanyak 115 ditolak atas alasan yang tidak kukuh.

"Borang permohonan ini boleh diperoleh di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, IPD Klang Selatan atau di balai polis berdekatan. Pastikan alasan permohonan kukuh," katanya.

Shamsul Amar turut menasihatkan masyarakat mendapatkan maklumat tepat berkenaan PKPB daripada sumber yang sahih seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kekeliruan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya kini telah melaksanakan sekatan jalan raya bergerak di lima lokasi iaitu di Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Sungai Udang/Kampung Delek, Telok Gong dan Pendamar.

"Kita juga ada 23 pasukan yang turun di lapangan untuk operasi pematuhan PKPB dan dibahagikan mengikut sektor di lokasi hotspot.

"Orang ramai perlu patuh SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19. Siapa yang ingkar akan diberi kompaun RM1,000," katanya.