X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga angkasawan Rusia, AS selamat tiba di bumi

Gambar fail menunjukkan angkasawan Amerika Syarikat, Chris Cassidy (kiri) dan Anatoly Ivanishin (tengah) serta Ivan Vagner yang berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada April lalu. - Foto AFP
A
A

ALMATY - Sebuah kapsul Soyuz yang membawa seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan dua angkasawan Rusia selamat mendarat di sebuah kawasan padang rumput yang luas di Kazakhstan hari ini sekali gus menamatkan misi selama 196 hari di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Chris Cassidy dan Anatoly Ivanishin serta Ivan Vagner mendarat kira-kira 150 kilometer ke tenggara bandar Kazakhstan, Zhezkazgan pada jam 9.54 pagi waktu Malaysia.

Imej yang menunjukkan mereka selamat mendarat itu disiarkan oleh agensi angkasa lepas Rusia iaitu Roscosmos.

Tiga angkasawan itu sebelum ini berlepas ke ISS pada 9 April lalu dengan menaiki roket Soyuz dari Baikonor Cosmodrome, Kazakhstan dan tiba pada hari yang sama.

Mereka tiba di ISS ketika separuh daripada penduduk dunia terpaksa mengalami lockdown bagi menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sepanjang berada di ISS, mereka berjaya mengelilingi bumi sebanyak 3,136 kali dan melakukan pelbagai eksperimen sains.

Ketika di ISS, Cassidy, Vagner dan Ivanishin menyambut kedatangan dua angkasawan NASA, Robert Behnken serta Doug Hurley yang tiba di ISS pada Mei lalu dari AS dengan menaiki roket SpaceX Demo-2 milik syarikat bilionair Elon Musk.

Ia merupakan misi ketiga Cassidy, 50, yang pernah berkhidmat dengan pasukan Tentera Laut SEAL AS di angkasa lepas.

Vagner yang berusia 35 tahun pula melakukan misi ke angkasa lepas buat kali pertama berbanding Ivanishin, 51, yang sudah tiga kali berada di angkasa lepas. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!