Ambil alih ladang perkara ditunggu-tunggu warga Felda

Antara individu yang hadir pada sidang akhbar di Bilik Gerakan JKKR Wilayah Raja Alias petang semalam.
Antara individu yang hadir pada sidang akhbar di Bilik Gerakan JKKR Wilayah Raja Alias petang semalam.
A
A
A

JEMPOL - Hasrat Felda untuk mengambil alih semula 350,000 hektar ladang yang sebelum ini dipajak kepada Felda Global Ventures (FGV) merupakan perkara yang ditunggu-tunggu warga Felda.

Ketua Peneroka Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh berkata, usaha itu dilihat akan mengembalikan Felda ke landasan sebenar seperti di awal penubuhannya pada 1956.

"Sudah lama warga Felda mahu apa - apa juga aset termasuk ladang dan kilang diambil dan diuruskan semula oleh Felda seperti sebelum FGV ditubuhkan.

"Ini kerana Felda mempunyai keupayaan mengurus sendiri ladangnya dan tidak hairanlah ia digelar 'lombong emas' kepada peneroka dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Raja Alias di sini petang semalam.

Cadangan pengambilalihan itu turut mendapat sokongan penuh badan kepimpinan Felda Wilayah Raja Alias yang melibatkan JKKR Gabungan, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) dan Kami Anak Felda (KAF).

Karip Mohd Salleh
Karip Mohd Salleh

Mengulas lanjut, Karip berkata, pihaknya juga mahu pembaharuan dan penstruktur semula Felda serta usaha pengambilalihan pemilikan FGV diteruskan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Felda juga perlu mempunyai sumber kewangan kukuh untuk terus membantu peneroka dan generasi baharunya di tanah rancangan.

"Biarpun Felda perlu membayar pampasan sehingga RM4.3 bilion jika mahu mengambil semula ladang berkenaan tetapi kami tetap yakin Felda mampu berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, FGV pula perlu fokus meninjau peluang pelaburan lain yang berdaya saing sama ada di dalam atau luar negara.

"Kita yakin, selepas ini, Felda akan kembali gah sebagai agensi perladangan yang paling berjaya serta mampu menjaga kebajikan peneroka dengan lebih berkesan," katanya.

Terdahulu, Felda mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Bhd (FGV) dalam usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya dan usaha itu mendapat sokongan pelbagai pihak serta dilihat mampu membawa Felda lebih maju.