Geng Atam curi motosikal tumpas

Shamsul Amar (dua dari kanan) menunjukkan antara motosikal yang dirampas susulan tumpasnya Geng Atam, Isnin lalu.
Shamsul Amar (dua dari kanan) menunjukkan antara motosikal yang dirampas susulan tumpasnya Geng Atam, Isnin lalu.
A
A
A

KLANG - Bergerak secara mobil untuk melakukan jenayah curi motosikal dan samun, itu taktik Geng Atam yang berjaya dilumpuhkan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Banting, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan berasingan yang bermula jam 3.30 petang itu berjaya memberkas enam lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an termasuk empat beradik.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis berjaya merampas enam buah motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha 135LC dan Honda EX5 selain beberapa peralatan samun dan dadah.

"Siasatan mendapati geng ini diketuai suspek daripada salah seorang empat beradik terbabit berusia 26 tahun.

"Selain terlibat mencuri motosikal, geng ini dikesan aktif pada awal pagi melakukan jenayah samun warga asing. Soal siasat juga mendedahkan geng ini membeli dadah dengan menggunakan wang hasil jual motosikal curi.

"Berdasarkan semakan yang dibuat, rata-rata suspek memiliki lima hingga enam rekod lampau bersabit kes samun, rusuhan, dadah, curi kenderaan dan ugutan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Shamsul Amar (tengah) menunjukkan antara barang rampasan membabitkan Geng Atam dalam serbuan, Isnin lalu.
Shamsul Amar (tengah) menunjukkan antara barang rampasan membabitkan Geng Atam dalam serbuan, Isnin lalu.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, dalam tempoh tiga minggu bermula 1 Oktober lalu, seramai 21 suspek berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun berjaya diberkas IPD Klang Selatan menerusi Ops Lejang selain rampasan 11 buah motosikal.

"Kesemua tangkapan ini adalah mereka yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal," katanya.