Pasar harian Simpang Renggam kembali dibuka

Mohamad Sukry Abd Rahim
Mohamad Sukry Abd Rahim
A
A
A

KLUANG - Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) membenarkan semua pasar harian di bandar itu untuk kembali beroperasi berkuat kuasa semalam selepas ditutup sementara sejak 14 Oktober lalu.

Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim berkata, arahan tersebut melibatkan pasar pagi, pasar malam dan pasar tani.

Menurutnya, semua peniaga dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pasar harian yang dibuka semula operasinya adalah Pasar Kompleks Industri Kecil Sederhana (IKS) di Simpang Renggam, Pasar Bukit Keremoiyang (Machap) dan Pasar Jalan Puteri (Pekan Layang-Layang).

"Turut kembali beroperasinya adalah Pasar Jalan Lingkaran 3 (Taman Sri Lambak); Pasar Jalan Stesen (Renggam) dan semua pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Simpang Renggam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, MDSR mengarahkan semua jenis pasar dalam kawasan pentadbirannya ditutup selepas dikesan berlakunya penularan koronavirus (Covid-19).

Mohamad Sukry berkata, semua peniaga harus mematuhi notis arahan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171.

"Pemakluman dan arahan ini dikeluarkan dari masa ke masa dan akan dipinda tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada pihak kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dibuat melalui talian 07-7551300 atau hotline 1300-88-6377 dan WhatsApp 019-7551300," katanya.