Flick tabik karakter pemain Bayern Munich

Coman meraikan jaringan bersama pemain Bayern Munich lain. - Foto FC Bayern Munich
Coman meraikan jaringan bersama pemain Bayern Munich lain. - Foto FC Bayern Munich
A
A
A

PENGENDALI Bayern Munich, Hansi Flick menyifatkan penyandang juara itu memberi petanda mereka bersedia mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara selepas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Atletico Madrid di Allianz Arena.

Menurut bekas pengendali 1899 Hoffenheim berusia 55 tahun itu, dia bangga dengan permulaan garang kelab gergasi Bundesliga berkenaan walaupun sebelum ini terpaksa melakukan persiapan pra musim dalam keadaan kurang sempurna akibat pandemik Covid-19.

"Keputusan positif yang diraih pada perlawanan pertama peringkat kumpulan ini sebenarnya pentingnya sebagai motivasi kepada pemain-pemain Bayern Munich untuk mengharungi perlawanan selepas ini.

"Saya amat berpuas hati dengan kesungguhan serta komitmen dipamerkan setiap pemain-pemain saya selepas melalui persediaan pra musim yang cukup luar biasa musim ini.

"Taktikal permainan yang dirancang sebelum perlawanan berjaya dilaksanakan dengan sempurna oleh setiap pemain.

"Sejujurnya ia tugas yang sukar tetapi kami menguasainya. Kecekapan kami baik hari ini dan saya sangat berpuas hati. Sangat penting untuk memenangi perlawanan pertama ini," kata Flick.

Gergasi Bundesliga itu memulakan pesta gol ke atas skuad kendalian Diego Simeone dengan jaringan Kingsley Coman pada minit ke-28' sebelum gol minit ke-41', Leon Goretzka memastikan kedudukan 2-0 babak pertama.

Babak kedua, tuan rumah tampil agresif apabila menambah lagi dua jaringan menerusi Corentin Tolisso pada minit ke-66' sebelum Coman melabuhkan tirai malam pesta gol Bayern dengan gol pada minit ke-72'.

Artikel Berkaitan:

Mengakui pra musim pendek menjejaskan momentum pemain-pemainnya, namun Flick optimis kelab Jerman itu mampu mengharungi cabaran domestik dan Eropah musim ini.

“Kami hadir dengan kesiapsiagaan fizikal tahap terbaik. Itu penting untuk bersaing di saingan Liga Juara-Juara yang cukup kompetetif.

"Apapun kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan kerana saingan musim ini berlangsung dalam suasana luar biasa.

"Keputusan hari ini adalah bukti bahawa Bayern Munich bertekad mahu memenangi perlawanan pertama," katanya.

Sementara itu, Coman menegaskan bahawa pemain-pemain Bayern Munich telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

"Kami bermain dengan sangat baik malam ini biarpun Atletico Madrid bukan lawan yang mudah.

"Saya menjaringkan dua gol dan sangat gembira. Kami mempunyai pemain-pemain yang berada pada tahap terbaik itu yang menyebabkan kami dapat bermain dengan baik bersama. Saya harap kita dapat terus melakukannya," katanya.