Penderitaan Kak Pah berakhir

Kak Pah (empat dari kanan) menerima sumbangan kereta sorong baharu yang disampaikan oleh Zulkepli (tengah).
Kak Pah (empat dari kanan) menerima sumbangan kereta sorong baharu yang disampaikan oleh Zulkepli (tengah).
A
A
A

RANTAU PANJANG - Keadaan tayar kereta sorong yang sering pancit memaksa Wan Saripah Wan Umar,59, mengerah segala kudrat untuk menolak kenderaan itu bagi membolehkan dia keluar mencari rezeki dengan berniaga colek buah di zon bebas cukai Rantau Panjang.

Mahu atau tidak, Wan Saripah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah terpaksa berbuat demikian bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan selain dapur rumahnya terus 'berasap'.

Kepayahan yang dilalui Kak Yah itu akhirnya mendapat perhatian dari Yayasan Amal Datuk Zul Wisma apabila Pengerusinya, Datuk Dr Zulkepli Mohammad turun padang menyampaikan sumbangan berbentuk kereta sorong baharu dan wang tunai bagi memudahkan lagi urusan Kak Pah mencari rezeki.

Kak Pah berkata, dia terharu dan berterima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan oleh pihak yayasan itu.

"Nak baiki kerosakan itu saya tidak mampu kerana ia memerlukan modal yang agak besar, lagipun pendapatan menjual colek tidak menentu," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan kesihatan suami, Ismail Che Hamat,56, yang tidak menentu turut membantutkan hasrat tersebut, namun tetap bersyukur kerana suaminya turut membantu ketika dia berdepan kesukaran.

Zulkepli (kanan) menyampaikan wang sumbangan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma kepada Kak Pah di rumahnya di Rantau Panjang.
Zulkepli (kanan) menyampaikan wang sumbangan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma kepada Kak Pah di rumahnya di Rantau Panjang.

"Besar harapan saya dengan adanya kemudahan ini dapatlah bekerja lebih keras untuk mencari rezeki.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, saya turut memasang impian untuk membaik pulih rumah yang sudah uzur bagi membolehkan kami meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Zulkepli berharap kemudahan itu dapat membantu Kak Pah untuk terus berniaga dengan lebih rancak selepas ini.

Katanya, dalam kunjungan itu juga dia turut menghulurkan sumbangan modal kepada Kak Pah untuk kembali berniaga.

"Saya akui pandemik koronavirus (Covid-19) memberikan impak yang cukup besar buat seluruh dunia termasuklah golongan berpendapatan kecil dan sederhana.

"Saya berharap agar golongan yang terjejas dapat terus berusaha untuk bangkit semula dan sentiasa berdoa supaya kita dilindungi dari bahaya ini," katanya.