X

Kindly register in order to view this article
!

Gencatan politik: Bukti UMNO sedia kerjasama

Syed Agil Alsagoff
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman dalam saranan gencatan politik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan kesediaan UMNO untuk terus bekerjasama dengan kerajaan sekarang.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Alsagoff berkata, penyatuan parti politik itu sangat bernilai untuk meningkatkan tahap ekonomi di negara ini.

Beliau yang juga pemerhati politik menegaskan, sekarang bukan waktu terbaik untuk berebut kuasa dan tidak memperjudikan masa depan rakyat semata-mata demi agenda politik.

Katanya pembentangan Belanjawan 2021 yang semakin hampir dibimbangkan menjejaskan nilai pelaburan asing di negara ini.

"Gencatan politik dapat melestarikan penyatuan kerjasama dan memberikan keyakinan kepada rakyat serta pelabur asing bahawa mereka mampu menjaga keamanan dan perpaduan nasional demi masa depan rakyat dan negara ini.

"Beberapa negara termasuk Thailand dan Indonesia, kegagalan kerajaan menyakini rakyat terhadap strategi pemulihan pandemik koronavirus (Covid-19) mengakibatkan keadaan huru-hara dan menggugat kepercayaan rakyat kepada pemerintah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam Ahmad Zahid mengumumkan gencatan politik dan mengulangi sokongan parti kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sebalik hubungan tegang antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, dalam isu itu semua parti politik khususnya UMNO dan Bersatu harus mencari titik persefahaman untuk membina jalinan pengukuhan budaya politik lebih matang.

Menurutnya, mungkin ada isu yang menjadi faktor parti politik bertelagah dengan kepimpinan kerajaan sekarang tetapi perlu diingat ialah kemelut pandemik Covid-19 wajar diutamakan.

"Percaturan sekarang bukanlah satu ugutan atau ancaman dalam senario politik tetapi membina keserasian terutama dalam menghadapi ancaman gelombang ketiga Covid-19," katanya.

Beliau berkata, rakyat mahukan pembelaan dan pemeliharaan dari segi sosio ekonomi serta bagaimana mereka akan meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, Pilihanraya Umum juga tidak mungkin dapat dilaksanakan berikutan perkembangan penularan Covid-19 semakin aktif dan melumpuhkan pergerakan harian di beberapa negeri.

Katanya, gesaan penyatuan parti politik untuk menghadapi ancaman dunia juga disuarakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong turut menasihati semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik Covid-19 itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!