KBBM bantu Koko Minda, Cendol Kg Hulu berdaya saing

A
A
A

MELAKA - Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) merupakan satu usaha bagi membantu usahawan-usahawan tempatan untuk terus kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Umum mengetahui pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac lalu telah memberi impak negatif buat kebanyakan perusahaan tempatan yang rata-ratanya terkesan dengan penularan wabak tersebut.

Bagaimanapun, bagi memperkasakan kempen yang diusahakan ini, sokongan dari semua pihak amat penting dalam memastikan pelaksanannya mencapai objektif yang dikehendaki.

Perlu sokongan kerajaan, rakyat

Ketua Pegawai Eksekutif Koko Minda, Salim Salleh (tiga dari kiri) sewaktu menerima kunjungan daripada pihak Tekun Nasional baru-baru ini ke premis kilangnya di Merlimau, Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Koko Minda, Salim Salleh (tiga dari kiri) sewaktu menerima kunjungan daripada pihak Tekun Nasional baru-baru ini ke premis kilangnya di Merlimau, Melaka.



Perkara ini turut diakui Pengurus Pemasaran Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd, Amirah Shahirah Salim, 22, yang berpendapat rakyat negara ini perlu menjadi tulang belakang dalam menjayakan kempen tersebut bagi membantu aliran ekonomi negara untuk sentiasa berjalan lancar.

"Kempen Beli Barangan Malaysia sememangnya satu usaha yang baik namun sokongan dari semua pihak penting dalam memastikan pasaran produk tempatan dapat diperluaskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsikan mengenai awal penubuhan syarikat berkenaan, Amirah berkata, Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd telah beroperasi sejak tahun 2009 dan ditubuhkan oleh pengasasnya, Salim Salleh, 63.

No Image Caption



Ketika awal operasi, Amirah berkata, produk mereka hanya dipasarkan buat kenalan rapat dan hasil sokongan semua pihak, perusahaan ini semakin berkembang sehingga mampu mempunyai kilang sendiri di Melaka Halal Hub, Merlimau.

"Kini keluaran utama syarikat kami adalah Koko Minda Plus dan menghasilkan pelbagai produk minuman berasaskan koko yang memberikan kecergasan kepada minda terutama buat murid sekolah.

"Sebagai usahawan, kami memang memerlukan sokongan daripada kerajaan dan rakyat tempatan untuk bertapak kukuh serta berdaya saing dengan pesaing lain khususnya produk-produk antarabangsa," katanya.

Fokus pasaran tempatan

Aspek pemasaran memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk Koko Minda.
Aspek pemasaran memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk Koko Minda.



Dalam menarik minat pembeli tempatan, Amirah mengakui ia bukannya satu perkara mudah malah kualiti produk mereka harus menjadi keutamaan untuk terus mendapat sokongan pelanggan.

Selain itu, Amirah berkata, aspek pemasaran juga memainkan peranan khususnya ketika dunia sedang beredar pantas mengharungi kemajuan teknologi menerusi perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

"Kami di Koko Minda juga mengutamakan aspek pemasaran dalam memastikan produk ini terus dikenali menerusi hebahan dan promosi melalui media sosial Facebook, Instagram, Twitter dan website.

"Buat masa ini, Koko Minda hanya fokus kepada pasaran tempatan berikutan penularan wabak Covid-19, bagaimanapun kami mempunyai sasaran untuk memperluaskan produk in ke peringkat antarabangsa selepas ini," katanya.

Tambah Amirah, Koko Minda turut menyediakan perkhidmatan buat pelanggan-pelanggan syarikat pembuat asal (OEM) yang ingin mula mengeluarkan produk jenama mereka sendiri.

"Usaha kami ini adalah bagi membantu lebih ramai bakal usahawan di luar sana yang baru ingin mula bertapak menghasilkan produk atas jenama sendiri," katanya.

Inovasi cendol bawa kejayaan

Cendol Kampung Hulu kini menawarkan pelbagai jenis cendol yang sudah diinovasikan.
Cendol Kampung Hulu kini menawarkan pelbagai jenis cendol yang sudah diinovasikan.



Sementara itu, pengasas cendol terkenal, Cendol Kampung Hulu, Farizal Mustaffa, 44, pula berpandangan KBBM akan lebih mendapat sokongan sekiranya usahawan tempatan cuba untuk berfikir di luar kotak.

Kata beliau, selain itu usahawan juga perlu menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan inovasi baharu terhadap produk mereka bagi menarik minat pelanggan.

Mengambil contoh perniagaan yang diusahakannya sejak 2017 lalu, Farizal berkata, dia hanya menjual cendol sama seperti pengusaha lain namun pihaknya telah melakukan beberapa inovasi terhadap hidangan itu sehingga mendapat sambutan memberangsangkan.

Melalui inovasi yang dilakukan terhadap menu, Cendol Kampung Hulu berjaya menarik lebih ramai pelanggan
Melalui inovasi yang dilakukan terhadap menu, Cendol Kampung Hulu berjaya menarik lebih ramai pelanggan

Caption: Melalui inovasi yang dilakukan terhadap menu, Cendol Kampung Hulu berjaya menarik lebih ramai pelanggan.

"Sebagai contoh, cendol kami ini menggunakan santan biasa namun ia telah dibeku dalam bentuk kiub dan kemudiannya akan di 'shave' bersama bahan lain.

"Inovasi ini membuatkan tekstur hidangan cendol itu lebih lembut dan lazat sehingga ada menggelarnya seperti Bingsu," katanya.

Perniagaan semakin berkembang

Farizal tidak pernah putus asa dan tabah berdepan cabaran memajukan perniagaan Cendol Kampung Hulu.
Farizal tidak pernah putus asa dan tabah berdepan cabaran memajukan perniagaan Cendol Kampung Hulu.

Di samping itu, Farizal berkata, untuk meyakinkan pembeli, para usahawan tempatan juga perlu berani mengambil cabaran dan mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan.

Menurut Farizal, dia sebelum ini pernah gagal dalam beberapa perniagaan yang diusahakannya sehinggakan terpaksa menanggung kerugian besar.

"Sebelum ini saya pernah gagal dalam beberapa perniagaan, namun saya cuba untuk bangun dan intai peluang lain sehinggalah Cendol Kampung Hulu ditubuhkan serta mendapat sambutan ramai.

"Kini kami mempunyai tiga cawangan dan sebuah kilang bagi memproses ais sendiri dengan kemudahan mesin berharga RM300,000 bagi menghasilkan 300 kiub ais santan setiap hari,"katanya.

Tambah Farizal, bagi menggalakkan lagi sokongan terhadap usahawan tempatan, penghasilan produk di negara ini perlu digalakkan dan dipelbagaikan bagi memberi lebihan pilihan kepada pengguna.

"Malah, langkah ini sekali gus dapat melahirkan ramai usahawan tempatan yang kreatif dengan menghasilkan produk lebih inovatif buat pengguna," katanya.

#kempenbelibaranganmalaysia

#barangbaikbarangkita

#belanjauntukmalaysia

#Kpdnhep