Redah asap tebal selamatkan bayi dalam buaian

Keadaan rumah dua tingkat separuh kekal hangus dijilat api dalam kebakaran di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Burok, Kuala Terengganu petang semalam. (Kecil: Fatin Shuhada bersama bayinya, Nur Ayra Miqayla.)
Keadaan rumah dua tingkat separuh kekal hangus dijilat api dalam kebakaran di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Burok, Kuala Terengganu petang semalam. (Kecil: Fatin Shuhada bersama bayinya, Nur Ayra Miqayla.)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu sanggup menggadai nyawa meredah asap tebal menyelamatkan bayinya berusia 16 bulan yang sedang tidur dalam buaian ketika rumah sewa mereka terbakar petang semalam.

Fatin Shuhada Azmi, 28, dan bayinya Nur Ayra Miqayla Mohamad Shazriel Anuar antara 17 mangsa terselamat dalam kebakaran kira-kira jam 6 petang di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Burok di sini.

Berkongsi detik mencemaskan itu, ibu kepada empat anak itu berkata, ketika kejadian dia sedang mengemas rumah manakala bayinya tidur dalam buaian di ruang tamu.

"Anak yang lain sedang bermain di kawasan balai raya berhampiran dan suami saya pula bekerja," katanya.

Menurut Fatin Shuhada, dia terhidu bau asap tetapi menyangkakan jiran membakar sampah sebelum terdengar jeritan ibu mertua, Fazrida Jusof, 54, yang tinggal berhampiran menyuruhnya keluar kerana rumahnya terbakar.

"Selepas itu saya ternampak kepulan asap tebal di dapur dan nekad meredah asap tebal untuk menyelamatkan anak yang sedang lena dalam buaian.

"Saya hanya sempat mencapai telefon bimbit yang kebetulan ada berhampiran sebelum keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Fazrida berkata, dia yang ketika itu sedang berehat di hadapan rumah ternampak api dari arah dapur rumah anaknya lalu menjerit menyuruh mereka keluar segera.

Artikel Berkaitan:

Fazrida Jusof
Fazrida Jusof

"Saya juga menyangka jiran membakar sampah apabila bau hangit dan tidak terlintas di fikiran rumah anak yang terbakar," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.04 petang.

Beliau berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan dibantu BBP Jalan Kota tiba di lokasi untuk membantu memadam kebakaran itu.

Katanya, semasa tiba di lokasi, didapati rumah dua tingkat separuh kekal itu sudah dijilat api hampir 30 peratus.

"Disebabkan kedudukan rumah di lokasi begitu hampir di antara satu sama lain selain keadaan angin yang agak kuat menyebabkan api mudah merebak ke rumah bersebelahan.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengawal api dari terus merebak ke rumah lain berhampiran," katanya.

Rozizah berkata, kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah yang dihuni tiga keluarga musnah seratus peratus manakala sebuah lagi musnah hampir 30 peratus.

"Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan kecederaan jiwa dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.