'Memang betul ada pelajar positif Covid-19 di sekolah itu'

Anggota keselamatan berkawal di luar bangunan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.
Anggota keselamatan berkawal di luar bangunan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.
A
A
A

SEREMBAN - Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan mengesahkan terdapat kes pelajar positif Covid-19 di Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Senawang Industrial Park di sini.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah sebenar pelajar yang positif bukannya 33 orang seperti maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak malam tadi.

"Memang betul ada pelajar yang positif di sekolah itu, tapi jumlah sebenar akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya dimaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sudah membuat saringan terhadap kesemua pelajar dan kakitangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kelihatan seorang pelajar mengambil barang yang dihantar bapanya yang diletakkan di atas meja di luar pagar sekolah.
Kelihatan seorang pelajar mengambil barang yang dihantar bapanya yang diletakkan di atas meja di luar pagar sekolah.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Veerapan berkata, sekolah berkenaan sudah diarahkan tutup bagi kerja-kerja sanitasi.

Tinjauan Sinar Harian di sekolah tersebut pagi ini mendapati laluan masuk telah dikawal polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain turut dipasang dengan tali keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Turut kelihatan penjaga yang datang untuk menghantar barang kepada anak mereka namun diminta untuk tinggalkan di meja yang diletakkan di luar pagar sekolah itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus ketika dihubungi Sinar Harian menerusi WhatsApp minta media menunggu pengumuman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).