Kementerian Pengajian Tinggi terus membisu: Maszlee

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

"CONTINUOUS improvement is better than delayed perfection." Mark Twain

Seperti kelazimannya Kementerian Pengajian Tinggi terus membisu dari mengemukakan inisiatif-inisiatif kontigensi bagi para siswa dan siswi di kala pendemik semenjak bulan Mac yang lalu.

Menteri hanya muncul untuk mengumumkan pertandingan TikTok, mengumumkan penutupan IPT di saat akhir, membuat keputusan U-Turn, ataupun muncul untuk melihat bas-bas menghantar pelajar pulang dari IPT ke rumah masing-masing.

Adalah tidak adil untuk mengharapkan KPT di bawah kepimpinan menteri di bawah kerajaan sekarang untuk melakukan inisiatif-inisiatif seperti yang belaku pada tahun 2018-2019 yang lalu. Selain dari usianya yang baru tujuh bulan, pandemik juga merupakan alasan yang konkrit untuk berselindung.

Persoalannya, apakah tiada inisiatif yang efisien dan groundbreaking untuk para siswa dan para akademik untuk melestarikan pengajian tinggi dan menjamin kemapanan budaya intelektual walaupun di kala wabak melanda?

Umum mengetahui bahawa wabak Covid-19 memaksa IPT ditutup demi menjaga kesihatan dan keselamatan warga IPT.

Umum juga maklum bahawa sekarang majoriti para pensyarah terpaksa menggunakan pelantar dalam talian untuk mengajar dan berinteraksi dengan para pelajar, kecuali bagi kursus-kursus tertentu.

Umum juga mengetahui bahawa para pelajar juga terpaksa melalui proses kuliah mereka lewat pembelajaran dalam talian berbanding di dewan-dewan kuliah sepertimana keadaan biasa. Namun, apakah itu sahaja langkah yang diambil sebagai alternatif? Apakah tiada pelan kontigensi untuk para pelajar dan para pensyarah sekeliannya?

Artikel Berkaitan:

Apa yang pasti, kempen ‘Malaysia Membaca’, ‘Dekad Membaca Kebangsaan’ dan ‘Read @Faculty’ yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun lalu terus malap dan tidak meriah.

Bukankah di kala wabak ini, dan di kala para siswa serta pensyarah tidak dapat ke dewan-dewan kuliah, sepatutnya kempen membaca diperhebatkan? Bukankah kini waktu lebih banyak untuk membaca bagi para siswa yang berada di rumah? Bukankah kehidupan siswa itu sinonimnya dengan pembacaan?

Apakah perpustakaan di IPT-IPT kini tidak boleh menyediakan sistem pinjaman buku dan pemulangan buku atas talian untuk para siswa yang terpaksa pulang ke rumah masing-masing?

Mungkin ia akan menyebabkan kos yang lebih, namun itulah tujuannya para pelajar membayar yuran pengajian mereka. Apakah ertinya yuran yang dibayar jika mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan di universiti semata-mata kerana mereka terpaksa belajar dari rumah?

Apakah pihak perpustakaan negara, perpustakaan negeri dan perpustakaan daerah tidak dapat mengadakan sistem yang sama kepada para siswa yang terpaksa belajar dari rumah? Bukankah mereka yang lebih hampir dengan para siswa dan pelajar yang berada di rumah masing-masing? Apakah pihak KPT tidak terfikirkan usaha ini demi memastikan para siswa akan terus menjadikan membaca sebagai gaya hidup mereka di kala pandemik?

Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Saya juga tertanya-tanya, apakah nasib program ‘Sasterawan @Faculty’ yang bertujuan untuk memasyhurkan para sasterawan negara di kalangan warga IPTA di menara gading? Apakah kini para sasterawan sudah diketepikan hanya kerana bertukarnya menteri di KPT?

Jika United Kingdom berbangga dengan Shakespeare, India berbangga dengan Tagore, Amerika Latin berbangga dengan Marquez, Republik Checz berbangga dengan Kafka, mengapa tidak warga IPT kita diperkenalkan dengan para sasterawan kita walau dari jurusan apakah mereka demi melestarikan identiti bangsa dan nusa?

Ini semua boleh disemarakkan dengan pelbagai aktiviti para sasterawan negara melalui dalam talian yang diusahakan oleh pihak universiti ataupun pihak KPT dengan usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN). Saya yakin barisan sasterawan negara kita ternanti-nantikan usaha seperti ini.

Di kala pandemik ini juga kita dapat melihat bagaimana universiti-universiti terkemuka di negara-negara maju sibuk menyediakan kursus-kursus jangka pendek dalam talian.

Sewaktu PKP, saya sendiri telah mengikut kursus-kursus yang dianjurkan oleh Durham University, London School of Economics, Manchester University dan juga Teeside University. Saya juga sempat mempromosikan kursus-kursus dalam talian tersebut melalui pelantar media sosial saya, terutamanya Twitter. Di manakah KPT dan IPT kita di dalam hal ini?

Jika kita tidak mampu menawarkan kursus-kursus dalam talian seperti mereka sekalipun, apa salahnya IPT kita melakukan usahasama strategik atau usahasama pintar dengan unversiti-universiti tersebut dan menyebarkannya kepada siswa dan juga rakyat awam agar mereka yang berminta boleh mengikutinya.

Jika mereka rajin, mereka boleh mengikuti program-program berbayar yang menawarkan sijil dan akreditasi oleh universiti-universiti tersebut. Tidak perlulah mereka menjadi sesetengah pemimpin yang membeli sijil palsu secara dalam talian dari universiti yang diragui dan malah tidak wujud.

Jika tidak pun, bukankah KPT boleh melakukan kerjasama dengan YouTube ataupun mana-mana pihak yang menawarkan bahan-bahan pengajaran dalam talian melalui pelantar tersebut untuk dijadikan bahan-bahan sebagai bahan bantuan mengajar ataupun sebahagian dari bahan pembelajaran yang diakredetasikan oleh IPT.

MQA perlu bersikap kreatif dan berfikir di luar kotak berhubung hal ini. Situasi yang dialami oleh warga IPT sekarang memerlukan penyelesaian dan pendekatan yang bukan konvensional.

Di waktu pandemik dan di kala berada di rumahlah para siswa memerlukan sokongan moral dan suntikan semangat untuk belajar. Kita telah disajikan dengan banyak berita mengenai krisis mental dan stress para pelajar sewaktu berada di rumah.

Kemunculan menteri, para VC, TNC dan juga golongan intelek, secara berkala di laman web KPT, atau di mana-mana portal berita ikutan ramai dengan kata-kata semangat dan nasihat (yang tidak terlalu lama dan bukan ceramah) perlu ada. Kepimpinan amat diperlukan di waktu ini.

Isu yang mungkin timbul ialah isu capaian internet bagi para siswa yang mendiami kawasan luar bandar ataupun kawasan pendalaman. Hal ini adalah di luar bidang kuasa KPT, ia merupakan bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga agensi-agensi berkaitan seperti Felda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan lain-lain lagi.

KPT boleh berberhubung dengan syarikat-syarikat komunikasi untuk memberikan potongan harga ataupun pakej istimewa kepada para siswa bagi talian internet mereka sementelah tempoh wabak ini. Hal ini perlu dilakukan segera demi memastikan para siswa tidak dibebani dengan bayaran yang tinggi oleh syarikat Telco.

Begitu juga KKMM perlu berunding dengan pihak Telco untuk meningkatkan kelajuan internet mereka demi memastikan kelajuan internet bagi para pelajar dan rakyat Malaysia secara amnya.

Banyak lagi inisiatif intelektual yang boleh dilakukan demi memastikan para siswa dan siswi IPT tidak ketinggalanan pelajaran mereka.

Persoalannya, apakah KPT bersedia melakukannya?

Ataupun soalan yang lebih tepat, di manakah Menteri KPT sekarang ini?