'Hentikan sidang media harian jika tiada pengumuman bantu rakyat'

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berhenti mengadakan sidang media hariannya jika tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.

Menurutnya, sidang akhbar bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.

"Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru.

"Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid-19! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri akan melakukannya!" katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan semua prosedur operasi standard (SOP) sebelum dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan.

Menurutnya, SOP panduan bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan sebelum ini terlalu umum dan sangat mengelirukan.

Jelasnya, arahan yang mengelirukan dan 'setengah masak' mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.

"Sektor perniagaan sedang menghadapi suasana kelembapan ekonomi dan berpotensi kehilangan lebih banyak peluang akibat ketidaktentuan ini.

Artikel Berkaitan:

"SOP yang kabur dan mengelirukan turut menyukarkan pegawai penguat kuasa menjalankan arahan dan mengakibatkan berlakunya ketidakadilan dalam kalangan orang awam," katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menggesa kerajaan segera menjelaskan kekeliruan dan memastikan denda tidak dikenakan kepada mereka yang didapati keliru dengan SOP dikeluarkan dua Menteri Kanan iaitu Ismail Sabri dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, menteri yang bertanggungjawab harus segera belajar untuk menyelaras secara bersama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sesuatu yang baharu.

"PKP bermula sejak bulan Mac lagi, saya cuma mahu mengingatkan mereka (menteri berkenaan) yang masa untuk berbulan madu telah pun tamat," katanya.