MEF sambut baik usaha kerajaan ringankan beban majikan

SHAMSUDDIN BARDAN
SHAMSUDDIN BARDAN
A
A
A

SHAH ALAM – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik usaha kerajaan meringankan beban majikan dengan membantu pekerja menjalani ujian saringan pandemik koronavirus (Covid-19) secara percuma.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan kini mempunyai pilihan sama ada menggunakan panel perkhidmatan yang dilantik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ataupun melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin.

“Kita berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia kerana memberikan penjelasan terperinci berhubung kos dan mekanisme pelaksanaannya.

“Kini majikan boleh memilih opsyen yang diberikan sama ada menggunakan khidmat panel yang disediakan Perkeso ataupun melakukan ujian saringan di klinik pilihan melalui skim subsidi di bawah Penjana.

“Justeru, tidak timbul soal majikan perlu membayar lebihan kos kerana mereka sendiri yang memutuskan untuk melakukan ujian itu di klinik, selain panel yang disediakan Perkeso,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa Program Saringan Prihatin (PSP) diperluaskan kepada semua pencarum Perkeso di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Peluasan capaian oleh Perkeso mencakupi pencarum di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Shamsuddin turut meminta semua panel perkhidmatan yang dilantik Perkeso supaya lebih efisien serta sistematik ketika mengendalikan ujian saringan Covid-19 bagi mengelak berlakunya 'kesesakan pekerja’.

Artikel Berkaitan:

Shamsuddin berkata lagi, pihak berkenaan juga perlu memastikan setiap temu janji serta ujian saringan tidak mengambil masa terlalu lama.

“Saya pasti banyak syarikat akan memilih untuk melakukan saringan di panel perkhidmatan yang dilantik Perkeso. Jadi kita tidak mahu berlaku situasi agak kelam kabut seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Ramai pekerja mengadu dan tidak berpuas hati kerana mereka terpaksa menunggu terlalu lama untuk menjalani ujian saringan berkenaan.

"Kekeliruan juga timbul terutama kepada pekerja asing kerana mereka sukar memahami prosedur yang perlu dilakukan atau sebagainya,” katanya.