'Apa sebenarnya Ahmad Zahid mahukan?'

SALAHUDDIN, MAHFUZ
SALAHUDDIN, MAHFUZ
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut penjelasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung soal sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menubuhkan kerajaan serta kenyataan berkaitan gencatan politik.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ahmad Zahid seharusnya memberikan kenyataan paling jelas apa yang beliau dan UMNO mahukan.

"Sebelum ini beliau menyatakan UMNO mahu memberikan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih kerajaan tetapi pada hari ini mereka mengambil suatu ketetapan untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya harap Ahmad Zahid memberikan kenyataan jelas apa yang sebenarnya dia dan UMNO mahukan. Adakah beliau mahu bersama kita untuk ambil alih kerajaan atau bersedia untuk berkompromi dengan Kerajaan PN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, sekiranya kerajaan bertukar sekali pun, ia tidak akan mewujudkan masalah besar.

Ini kerana, katanya, ketika menjadi kerajaan, PH tidak kekok untuk menghadapi Covid-19.

"Kita ada pengalaman berhadapan dengan Covid-19. Jangan jadikan alasan virus ini untuk berdolak-dalih. Jadi semua perlu fokus. Sekiranya esok kita mengambil alih kerajaan, kita akan membuat arahan seperti biasa dan melihat apa yang perlu dilaksanakan.

"Pendirian UMNO yang jelas perlu dipertegaskan dan bukan bermain-main sebagaimana dalam beberapa minggu ini di mana mahu memberikan sokongan kepada Anwar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar pula mendakwa kenyataan Ahmad Zahid berhubung gencatan senjata merupakan kejayaan permainan politik selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya percaya kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini bahawa beliau tidak boleh menghalang mana-mana ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar sebenarnya satu permainan politik halus bagi menekan Muhyiddin.

"Akhirnya hasil pertemuan UMNO dengan Muhyiddin menunjukkan bahawa beliau terus kekal berkuasa. Saya percaya beliau berjaya menyelesaikan masalah ini dengan memenuhi tuntutan oleh UMNO," katanya.

Dalam situasi tersebut, katanya, rakyat rugi kerana kerajaan yang ada hari ini sebagai kerajaan lemah dan terpaksa berdepan dengan tekanan politik daripada dalam PN sendiri.

"Ini permainan politik halus bagi memenuhi tuntutan peribadi dan kelangsungan parti," katanya.