Budi dan Kamus Dewan Perdana

A
A
A

Kamus Dewan Perdana (KDP) baru saja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada tahun 2020 ini. Alhamdulillah, ia merupakan kamus bahasa Melayu yang terbesar di dunia. Di samping itu ia lebih autentik, komprehensif dan berwibawa. Ciri-cirinya yang terpenting boleh dibaca pada kulit belakang kamus yang anggun, tebal dan berat ini.

Lebih 120,000 entri dan subentri merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun terdapat di dalamnya. Analisis baharu adalah berdasarkan data korpus lebih daripada 113 juta kata dalam Korpus DBP, di samping penggunaan kata di internet.

Terdapat maklumat pemenggalan kata, ejaan jawi, sebutan dan kelas kata. Sekitar 7,000 maklumat etimologi dalam 2,529 halaman yang mengambil masa 30 tahun untuk dikumpulkan.

Takrif istilah bidang disediakan bersama-sama dengan pakar bidang yang berwibawa. Pencungkilan maklumat takrif kata-kata dialek dan kata bahasa serumpun dilakukan bersama-sama dengan informan terpilih.

Semua contoh penggunaan diambil daripada korpus bahasa Melayu yang diandalkan.

Siri perbincangan tentang nama serta reka bentuk kulit kamus perdana ini adalah antara kenangan manis saya semasa diamanahkan dengan tugas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP (9 Julai 2018 – 8 Mei 2020). Hanya itu sekelumit sumbangan daripada saya.

Semoga ALLAH SWT memberkati mereka yang dikenali dan tidak dikenali oleh kita, yang telah bertungkus lumus selama tiga dasawarsa dalam usaha besar lagi mulia untuk menerbitkan Kamus Dewan Perdana ini.

Pada 9 Oktober lalu, saya menerima senaskhah KDP daripada Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Artikel Berkaitan:

Di samping membaca dan memahami makna ayat-ayat al-Quran selepas solat subuh, sejak hari itu saya merujuk kamus perdana ini setiap hari dalam siri penulisan buku baharu, makalah untuk Sinar Harian serta makalah untuk Dewan Masyarakat DBP.

Saya teringat akan rakan-rakan pelbagai mesyuarat akademik dan NGO bukan kerajaan yang saya hadiri pada dasawarsa 1980-an. Dalam kalangan kami yang berusia hujung 20-an dan pertengahan 30-an, ada yang membawa mushaf (sebutan: mus-haf; bukan mu-syaf) al-Quran untuk sama-sama membacanya dan menghafaz ayat-ayatnya.

Masa itu tiada telefon pintar yang hendak ditatap. Bila saya mula membawa naskhah Kamus Dewan dalam mesyuarat untuk memastikan pertuturan serta penulisan kami tepat tatabahasanya, ada teman yang berseloroh: “Dulu kita lihat al-Quran, kini kita lihat Kamus Dewan.”

Erti

Lebih tiga dasawarsa kemudian, kini pada usia hujung 60-an tahun Masihi (awal 70-an tahun Hijrah), saya masih membaca al-Quran dan masih merujuk Kamus Dewan versi Perdananya. Alhamdulillah.Entri “budi” dalam KDP bermakna perbuatan baik yang dilakukan seseorang kepada seseorang lain. Ia merupakan antara istilah paling awal yang dipelajari oleh kanak-kanak dalam banyak budaya manusia dan agama besar.

Budi senang dihayati oleh mereka yang berjiwa besar; sebaliknya sukar bagi mereka yang berjiwa sempit.

Kita lihat bagaimana pemimpin dan rakyat yang berjiwa besar termasuk golongan NGO menghulurkan bantuan dengan cepat kepada pelajar baharu universiti yang terkandas semasa mereka tidak dibenarkan mendaftar pada saat akhir.

Mereka yang mempunyai budi kini membantu rakyat Sabah sewaktu penularan Covid-19 yang sedang melanda secara besar-besaran sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September selesai.

Ia adalah satu pukulan maut bagi menteri dan rakyat yang tidak hiraukan betapa seriusnya penangan yang kini menular ke seluruh negara.

Pada 18 Oktober, jumlah 871 kes baharu dengan tujuh kematian adalah rekod terburuk kita; dan Malaysia berada di tempat ke-90 dalam senarai Covid-19 dunia. Sekitar dua minggu lepas kita merupakan negara yang ke-95 dalam senarai banyaknya jumlah kes Covid-19, dengan Amerika Syarikat yang teratas sekali.

Sesiapa saja yang mencadangkan Pilihan Raya Umum bagi Malaysia, atau PRN pada waktu ini, adalah manusia yang tidak memahami maqasid syariah dalam Islam yang berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (hifz al-din); menjaga nyawa (hifz al-nafs); menjaga akal (hifz al-‘aql); menjaga keturunan (hifz al-nasl); dan menjaga harta (hifz al-mal).

Sebagai doktor perubatan, saya berani mengatakan bahawa jika ada pengamal perubatan yang menyokong idea PRU kini ialah doktor yang mengabaikan etikanya untuk menjaga nyawa manusia dan manusia tanpa budi.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial