China kuasa ekonomi nombor 1 dunia

A
A
A

Laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent mengesahkan bahawa China telah memintas Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa ekonomi nombor satu dunia.

Laporan IMF itu yang merupakan satu-satunya laporan perbandingan ekonomi antara negara yang diterima pakai Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS mencatatkan bahawa nilai ekonomi China kini ialah US$24.2 trilion, mengatasi AS yang bersaiz US$20.8 trilion. Profesor Graham Allison dari Harvard Kennedy School mengulas laporan IMF itu dengan agak menarik melalui ‘Big Mac Index’ seperti mana yang dilaporkan majalah The Economist.

Menurut Professor Allison, usaha untuk mengukur seterusnya membandingkan ekonomi antara dua negara yang berbeza adalah cukup kompleks. Secara konvensionalnya, ahli ekonomi menggunakan metrik yang dikenali sebagai kadar tukaran pasaran (MER) untuk mengukur Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sesebuah negara.

Kaedah itu menghimpunkan kesemua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan sesebuah negara dalam mata wang mereka sendiri dan kemudian jumlah nilai tersebut dibandingkan dengan nilai mata wang US$ mengikut ‘kadar tukaran pasaran’ semasa.

Ekonomi AS dijadikan sandaran perbandingan kerana kekuatan ekonominya selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan saiz ekonominya hampir separuh daripada keseluruhan KDNK global.

Bagi tahun 2020, nilai keseluruhan barangan dan perkhidmatan dihasilkan di China dijangka sebanyak 102 trilion Yuan. Apabila nilai itu ditukar ke mata wang US$ pada kadar pasaran semasa iaitu 7 Yuan bersamaan 1 Dollar, KDNK MER China adalah US$14.6 trilion berbanding KDNK AS yang bernilai US$20.8 trilion.

Namun, kaedah konvensional ini memiliki satu kelemahan ketara apabila dibandingkan dengan realiti di lapangan: mengikut rasional kadar tukaran mata wang ini, ia mengandaikan bahawa barangan yang bernilai 7 Yuan di China adalah bersamaan dengan barangan yang bernilai US$1 di AS. Hal ini sama sekali tidak benar.

Fakta

Indeks Big Mac yang dibangunkan The Economist sebaliknya mencabar rasional ini dengan begitu ringkas tetapi tepat: jika di China, pengguna membayar 21 Yuan untuk membeli keseluruhan burger Big Mac. Jika nilai ini ditukar ke mata wang US$, ia bermakna warga AS hanya perlu membelanjakan US$3 untuk membeli burger Big Mac yang sama; tetapi hakikatnya tidak, harga Big Mac di AS adalah US$6!

Artikel Berkaitan:

Sekali gus, fakta ini menjadikan bahawa nilai setiap US$ 1 yang dibelanjakan China akan mendapatkan mereka barangan dan perkhidmatan yang dua kali ganda berbanding di AS. Akibatnya, CIA dan IMF telah membangunkan petunjuk yang lebih tepat bagi membandingkan ekonomi antara negara iaitu 'pariti kuasa pembelian’ (PPP) yang mengeluarkan perbezaan dalam tingkat harga antara ekonomi negara berbeza. Melalui PPP, nilai barangan sama yang boleh dibeli di sesebuah negara mengikut mata wang negara tersebut boleh dibandingkan secara langsung dengan nilai barangan yang sama di negara lain.

Jika kaedah MER menunjukkan berapa banyak China boleh berbelanja menurut harga dalam US$, PPP sebaliknya menunjukkan berapa banyak China boleh berbelanja mengikut harga yang sebenar di China.

Malah, China pada tahun 2020 ini adalah merupakan satu-satunya negara yang memiliki pertumbuhan positif di sebalik pandemik Covid-19. China juga adalah satu-satunya negara yang bakal memiliki saiz ekonomi yang lebih besar pada hujung tahun ini berbanding saiznya pada awal tahun.

Jika ketika China berada di kedudukan ekonomi kedua terbesar dunia sejak tahun 2010 pun mereka sudah mampu membangunkan teknologi ketenteraan dan persenjataan hingga menguasai Laut China Selatan dan diiringi skim Inisiatif ‘Belt and Road’, bayangkan pula apabila mereka kini menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.