AMK simpati nasib UMNO Perak

Mohamad Hairul Amir Sabri
Mohamad Hairul Amir Sabri
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak meluahkan rasa simpati terhadap UMNO Perak yang dipermainkan di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketuanya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, situasi dialami UMNO itu sebenarnya pernah dirasai sendiri oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika bersama Bersatu di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan di Perak.

Beliau berkata, tindakan pecah dan perintah yang dilakukan sebelum ini oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan Pengerusi Bersatu Perak untuk melemahkan PKR serta parti-parti lain ketika bersama PH dahulu kini dilaksanakan kembali di dalam PN.

"UMNO sekarang sudah terkena jerangkap samar yang dilakukan oleh Bersatu. Kami tahu sebab kami pun pernah diperlakukan seperti ini. Hak kami sebagai rakan sekutu di dalam PH dinafikan terutama dalam beberapa lantikan politik.

"Sebab itulah mengapa PKR begitu lantang mempersoalkan banyak keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak ketika itu kerana ia tidak dibincang bersama rakan-rakan di dalam PH," katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Hairul Amir berkata, ketika bersama di dalam PH sebelum ini banyak permintaan dan lantikan melibatkan PKR ditangguhkan malah sengaja dilewatkan terutama dalam pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, bukan itu sahaja, lantikan jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak dirujuk kepada Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Lebih malang lagi katanya, bukan sahaja PKR kehilangan kerajaan selepas pembentukan PN, ADUN PKR juga ditarik bersama-sama menyokong kerajaan baharu itu.

Artikel Berkaitan:

"UMNO kena berhati-hati sebab mereka boleh hilang wakil rakyat macam kami. Kami bukanlah mahu menyibuk soal parti lain tetapi apa yang sedang berlaku di dalam PN hampir sama berlaku di bawah PH dan dilakukan oleh orang sama.

"Kami tak mahu kerajaan yang ada ini asyik berpolitik dalam keadaan rakyat sengsara disebabkan kesan penularan wabak koronavirus (Covid-19) ini. Hentilah membuat percaturan untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sebelum ini, UMNO Perak menyifatkan persefahaman serta perjanjian yang dipersetujui ketika pembentukan kerajaan PN di negeri ini sudah tidak dihormati.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam satu kenyataan berkata, ia dapat dilihat apabila satu demi satu tindakan Ahmad Faizal membelakangi semangat muafakat yang dibina mereka bersama Pas.

Perkara itu diluahkan susulan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak yang dibuat tanpa berbincang dengan UMNO negeri.

[Artikel berkaitan: https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/105909]

TAMAT