Trump bayar cukai lebih tinggi kepada China

DONALD TRUMP - Foto Jason Moore/ZUMA Wire/dpa
DONALD TRUMP - Foto Jason Moore/ZUMA Wire/dpa
A
A
A

WASHINGTON - Rahsia Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berurusan di China akhirnya terbongkar kira-kira tiga minggu menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2020 akan berlangsung pada 3 November depan yang sememangnya boleh disifatkan sebagai ‘cakap tak serupa bikin’.

Menurut laporan The New York Times (NYT) yang mengkaji rekod cukai bilionair hartanah itu menunjukkan akaun bank di Beijing yang dikawal oleh Trump International Hotels Management.

Akaun tersebut turut membayar cukai berjumlah AS$188,561 (RM781,396) kepada China antara 2013 dan 2015 yang dipercayai berkaitan dengan perjanjian pelesenan.

Laporan NYT sebelum ini mendakwa, beliau hanya membayar cukai di AS sebanyak AS$750 (RM3,108) pada 2016 dan 2017.

Rekod cukai terbaharu itu juga mendapati Trump melabur sebanyak AS$192,000 (RM795,648) di lima syarikat yang ditugaskan untuk mendapatkan perjanjian perniagaan di Beijing.

Menerusi kempen pilihan raya untuk mengekalkan jawatannya di Rumah Putih, Trump jelas melancarkan perang retorik ke atas China dengan menggunakan beberapa isu termasuk menuduh Beijing bertanggungjawab ke atas penularan koronavirus (Covid-19).

Di bawah pentadbiran beliau, hubungan AS-China juga mencapai titik paling rendah dalam tempoh beberapa dekad.

Sebelum ini, Trump menuduh pesaingnya daripada parti Demokrat, Joe Biden bersikap ‘terlalu lemah’ terhadap Beijing selain menuduh bekas Naib Presiden itu cuba ‘menjual’ negara terbabit kepada China.

Artikel Berkaitan:

Presiden ke-45 AS itu turut mendakwa Hunter yang merupakan anak lelaki Biden memeterai perjanjian perniagaan berbilion dolar dengan Bank of China, namun tuduhan itu tidak dapat dibuktikan. - Agensi